Islamic Widget

sYuKrAn..^_^

Thursday, September 8, 2011

Ummu Salamah

"Andai kanda pergi dulu..."
Profil
Imam Az-Zahabi menukil indah tentang keperibadian agung tokoh wanita ini di dalam Siyar A’laam an-Nubalaa’, vol.2.hlm. 201-202:

·         Dia adalah wanita terhormat, berhijab dan suci.
·         Nama penuhnya ialah Hindun binti Abu Umayyah bin Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum bin Yaqzhah bin Murrah al-Makhzumiyah.
·         Sepupu pedang Allah, Khalid al-Walid.
·         Sepupu Abu Jahal bin Hisyam.
·         Antara wanita yang pertama kali hijrah.
·         Sebelum menikahi Nabi, bernikah dengan saudara sesusu baginda, Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumi, seorang lelaki soleh.
Si Cantik Jelita yang Lahir Dalam Kemuliaan

            Ummu Salamah, Hindun binti Abu Umayyah lahir dalam keluarga yang terpandang di sisi masyarakat kerana berasal daripada Bani Makhzum. Dalam keluarga inilah, dia dididik bersikap dermawan, berhati bersih, menghayati erti belas kasihan sehingga memancarlah kebaikan dan kepemurahannya kepada manusia. (Rujuk Nisaa’ Ahlil Bait, Ahmad Khalil Jum’ah, hlm. 225-226).
Ayahnya seorang tokoh Quraisy yang dermawan dan pemurah. Nama si ayah sangat akrab di hati para musafir yang kekeringan bekal. Melalui sebuah perjalanan jauh dengannya amat menyenangkan kerana dia tidak membiarkan orang membawa bekal atau menyalakan api bahkan dia sendiri yang mencukupkan keperluan itu semua kepada mereka.
Begitulah lelaki ini membawa kemuliaan dalam keluarganya hingga terkenal dengan kedermawanan dan kegagahan. Inilah lingkungan keluarga yang membenihkan sekuntum mawar agama bergelar Ummu Salamah, berparas jelita dan berakhlak mulia.

Disunting Pemuda yang Amat Mencintainya

            Si mawar agama semakin menginjak usia remaja. Harumannya tersebar, menjadi rebutan. Pemuda terpilih yang berjaya memenangi cintanya ialah seorang penunggang kuda yang  hebat laksana kesatria.
Siapa lagi kalau bukan Abu Salamah, Abdullah bin Abdul Asad bin Hilal bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Ibunya adalah Barrah binti Abdul Mutalib bin Hasyim, ibu saudara Rasulullah SAW. Ibu susuannya ialah Tsuwaibah, hamba Abu Lahab yang juga pernah menyusui Nabi SAW.
Pernikahan dilangsungkan antara pemuda gagah ini dengan si gadis cantik. Mereka hidup sebagai pasangan yang sangat bahagia. (Rujuk Shuwar min Siyar Ash-Shahaabiyyaat, As-Suhaibani, hlm. 177).
Pengantin baru dua sejoli itu menjalani detik-detik indah bersama dengan limpahan kebahagiaan. Abu Salamah mencintai isterinya sepenuh hati. Masakan tidak, keperibadian Ummu Salamah di mata seorang lelaki hampir sempurna. Jiwanya tulus mencurahkan cinta, penyayang terhadap anak kecil dan kelembutannya mempesona.
Sejak awal dakwah Islam, pasangan itu begitu serasi menyatakan ke-Islaman dan keimanannya kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW. Cinta mereka bertambah jelas matlamatnya sejelas matlamat Islam membawa rahmah kepada sekelian alam. Kebahagian jiwa mereka bertambah-tambah meskipun dihimpit tekanan oleh penduduk Quraisy yang memusuhi dakwah Islam.  Janji terpateri, mereka sanggup melalui apa sahaja ujian yang mendepan demi Islam.

Membawa Diri ke Habsyah

            Untaian kata-kata Ummu Salamah ketika merakamkan kembali peristiwa hijrahnya ke Habsyah jelas menggambarkan kehalusan kata, ketajaman penyampaian, keindahan bahasa, keagungan niat, dan kesempurnaan penilaian terhadap sebuah peristiwa. (Nisaa’ Ahlil Bait, hlm. 231).
            Ummu Salamah berkata, “Ketika suasana Makkah terasa semakin menghimpit, para sahabat Rasulullah SAW ditekan dan disiksa, dan penindasan semakin meningkat, Rasulullah SAW tidak dapat membela mereka.”
Katanya lagi, “Walaupun baginda sendiri tetap aman dibela kaum dan bapa saudaranya, sehingga orang-orang Quraisy tidak dapat menyentuh mahupun menyakitinya seperti yang dapat dilakukan kepada para sahabat, namun Rasulullah prihatin terhadap mereka apabila baginda berkata, ‘Sesungguhnya di negeri Habsyah ada seorang raja yang tidak akan membiarkan siapapun dizalimi di hadapannya. Pergilah ke negerinya dan menetaplah di sana hingga Allah memberikan jalan keluar.’”
Abu Nu’aim dan Ibnu Hisyam merekodkan lagi kata-kata wanita cerdas ini, “ Setelah menerima perintah tersebut, kami segera pergi ke negerinya secara bertahap, hingga kami semua berkumpul dan tinggal di negeri yang baik dengan mendapat perlindungan yang baik pula. Dan kamipun dapat menjalankan keyakinan agama kami dengan aman.”

Dipisahkan Daripada Suami dan Anak

Allah menguji kesabaran Ummu Salamah dengan suatu peristiwa yang memilukan. Ketika hendak berhijrah ke Madinah pula, suaminya menyiapkan unta dan menaikkan isteri tercinta dan anak kecilnya, Salamah bin Abu Salamah ke atas belakang unta. Si suami menarik tali kendali unta dengan hati-hati. Tidak mahu anak dan isteri rasa dikasari.
Ketika keluarga Bani Mughirah melihat mereka, mereka mencegah Abu Salamah dengan berkata, “Kami tidak mahu menghalangmu pergi, tapi keluarga kami ini (Ummu Salamah), kami tidak akan membiarkanmu membawanya pergi jauh.”
Dengan ganas, mereka merebut tali kendali unta daripada Abu Salamah, lalu merampasnya dan membawa pergi bersama mereka. Rayuan dan rintihan Ummu Salamah bagaikan tiada erti. Biar Ummu Salamah dan puteranya mengalirkan air mata darah sekalipun, mereka tidak peduli. 
Abu Salamah terpaksa meneruskan perjalanan ke Madinah seorang diri kerana bimbang sesuatu yang buruk terjadi ke atasnya. Terpisahlah dua hati.
Berita itu sekejap sahaja sampai kepada Bani Asad (keluarga Abu Salamah), mereka amat marah kepada bani Mughirah atas perlakuan kasar itu. Mereka tidak berpuas hati melihat orang mereka iaitu Abu Salamah dizalimi dengan memisahkannya daripada isteri tercinta. Mereka ingin membalas dendam dengan memisahkan Ummu Salamah daripada puteranya pula. Mereka bersumpah, 
“Demi Allah, kami tidak akan membiarkan anak kami (Salamah bin Abu Salamah) tetap bersama ibunya kerana kalian sendiri yang memisahkan ibunya (Ummu Salamah) daripada keluarga kami (Abu Salamah).”       
Akhirnya, Bani Mughirah dan Bani Asad saling menarik Salamah hingga tangan anak kecil itu terkulai kerana terseliuh. Tangisan anak dan ibu menyayat hati. Namun, tetap tidak memancing simpati mereka. Perebutan tetap diteruskan. Keluarga Bani Asad berjaya merampas anak kecil itu sementara Bani Mughirah membawa Ummu Salamah balik ke perkampungan mereka. Bertambah parahlah kelukaan di hati Ummu Salamah. Sudahlah dipisahkan dengan suami tercinta, kini dipisahkan pula dengan anak kecilnya yang tidak mengerti apa-apa.

Rindu Tidak Tertahan

Ummu Salamah dikawal ketat agar tidak terlepas berhijrah ke Madinah. Dia tidak rela terus terkurung di bumi sendiri. Tanpa suami dan anak, kehidupannya bagaikan tiada seri. Dia memprotes tindakan kaumnya. Setiap pagi, dia akan pergi ke tanah lapang dan duduk di situ. Dia menangis semahu-mahunya, merintih dan mengadu kepada Allah azza wajalla. Dia melakukan rutin yang sama hingga hampir setahun lamanya. Rindunya tidak tertahan lagi. Hinggakan, orang-orang yang melihatnya turut menangis hiba.
Air mata Ummu Salamah akhirnya berjaya mencairkan kekerasan hati kaumnya. Rasa simpati menyelebungi mereka. Mereka lalu membenarkan Ummu Salamah menyusuli suaminya berhijrah ke Madinah. Tatkala berita itu tersebar, Bani Asad tidak lagi marah lalu menyerahkan kembali anak kecilnya.

Musafir Bersama Anak Kecil.

Wanita tabah itu dengan penuh kecekalan hati mendukung anak dari buaian lalu membawanya menaiki unta. Biarpun tiada siapa yang menemani perjalanan panjang yang melelahkan dan berisiko tinggi itu, namun si ibu tekad meneruskan.
Ketika tiba di Tani’m, Ummu Salamah bertembung dengan Usman bin Thalhah bin Abu Thalhah, seorang anggota keluarga  Bani Abdud Dar. Usman terkejut melihat ibu dengan anak kecil itu menempuh musafir cuma berdua.
“Hendak ke mana wahai puteri Abu Umayyah?” Tanya Usman.
“Aku menyusuli suamiku di Madinah,” jawab Ummu Salamah.
“Siapa yang menemanimu?” Soal Usman lagi.
“Aku bersama Allah dan anakku yang masih bayi ini,” katanya penuh yakin.
Tersentak jiwa pemuda itu. Dia lalu memegang tali kendali unta dan bertekad mengawasi perjalanan mereka hingga selamat tiba ke Quba’, Madinah meskipun dia sendiri bukannya berhajat untuk keMadinah. Dia mengawasi mereka dengan sopan dan tidak kasar. Apabila tiba di Quba’, dia berkata,
“Suamimu berada di kampung ini, maka masuklah dengan iringan berkah daripada Allah SWT.” Sebaik sahaja menuturkan kata-kata itu, dia terus berpatah balik ke Makkah tanpa mengharapkan balasan apa-apa. Tatkala terkenangkan peristiwa menyayat hati itu,Ummu Salamah berkata,
“Setahuku, tidak ada keluarga Muslim yang lebih menderita daripada keluarga Abu Salamah dan aku tidak pernah mengenal seorang teman perjalanan yang lebih mulia daripada Usman bin Thalhah.” (Lihat Al-Bidaayah wan Nihayah, vol.3, hlm 169). Di Quba’, cinta 3 beranak bersatu semula.

Ibu Mithali

            Ummu Salamah dan suaminya hidup tenang dan bahagia di samping masyarakat Ansar yang baik hati. Dalam masyarakat Madinah itu, Ummu Salamah dapat mendidik anak-anakya dengan penuh dedikasi.
Anak-anak yang bertuah itu ialah Salamah, Zainab, Umar dan Durrah. Ummu Salamah menanamkan bersungguh-sungguh ke dalam jiwa mereka akan kecintaan kepada  Allah dan Rasul. Tidak hairanlah kesemua mereka membesar menjadi para sahabat yang mulia.


Di Belakang Seorang Perwira 


            Dakwah Islam semakin berkembang. Islam tertegak sebagai sebuah kerajaan di Madinah. Musuh-musuh Islam semakin tercabar. Panggilan jihad buat kaum muslimin mula membakar.
Sebagai isteri kepada seorang sahabat yang mulia, Ummu Salamah tidak teragak-agak memotivasikan suami tercinta agar turut bergabung dengan pasukan muslimin, membela Islam di medan Badar. Di situ, panji Islam berkibar. Kemenangan Islam dijulang dengan kalimah ‘Allahu Akbar!’
            Kemarahan musyrikin semakin memuncak. Perang Uhud menyusul rancak. Abu Salamah tercedera ditusuk sebatang anak panah yang dibusur oleh Abu Usamah al-Jusyami. Apabila perang berakhir, isterinya sudah setia  menanti. Melihat keadaaan suaminya, Ummu Salamah berbangga melihat darah suci insan tercinta telah membasahi perjuangan. Dia memberi perhatian yang sangat tinggi selama sebulan penuh bagi membantu proses penyembuhan suaminya. (Rujuk Tahdziibul Asmaa’ wal Lughaat, vol.2, hlm. 362).


Luka Lama Berdarah Kembali


            Keperwiraan Abu Salamah diiktiraf Nabi. Setelah berlalunya Uhud, ada beberapa kabilah Arab cuba menyusun kekuatan untuk menyerang kaum muslimin. Pada awal Muharram, 4 Hijriah, Rasulullah SAW memberi amanah kepada Abu Salamah untuk memimpin pasukan kecil (sariyyah) seramai 150 orang bagi membereskan mereka.
Dengan penuh wibawa, Abu Salamah melakukan serangan mendadak hingga pasukan musuh kucar-kacir. Mereka berjaya membawa kemenangan dan harta rampasan perang tanpa pertumpahan darah. Namun, luka lama berdarah kembali. Abu Salamah meninggal dunia tidak lama selepas itu. (Zaadul Ma’aad, vol.3, hlm. 243, cetakan Darr al-Rayyan).


Janji Kekasih


            Sebelum perginya suami tercinta, Ummu Salamah berada di sisi merawat sehabis daya. Dia seorang isteri yang sangat setia dalam menyayangi. Cemburunya besar lantaran besarnya cinta. Ziyad bin Abu Maryam sempat merakamkan semula dialog sedih antara dua insan yang sangat saling mencintai kerana Allah ini.
            Dengan linangan air mata, berkatalah Ummu Salamah kepada kekasih hatinya,
“Kandaku sayang, dinda mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga, sementara isterinya tidak menikah lagi, maka Allah akan mengumpulkan mereka kembali di dalam syurga. Oleh itu, berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi (seandainya dinda mati terlebih dahulu). Dinda juga berjanji tidak akan menikah lagi andai kanda pergi dulu.”
(Sebenarnya ada perbezaan pendapat berkenaan hal ini kerana setelah menjadi isteri Nabi, Ummu Salamah pernah bertanyakan hal seorang isteri yang pernah menikahi beberapa orang suami. Rasulullah SAW menjelaskan bahawa suami yang paling baik akhlaknya kepada isterinya paling berhak menjadi suaminya di syurga.)
Abu Salamah sedar, isteri sesolehah, secantik dan sebijak isterinya wajar dimiliki oleh seorang suami yang jauh lebih baik daripadanya. Dalam tenat bicara, Abu Salamah menagih janji yang lebih baik baginya seraya berkata,
“Mahukan dinda taat kepada kanda?”
Ummu Salamah lantas menjawab tanpa ragu,
“Sudah tentu wahai kekasihku.”
“Berjanjilah, jika kanda mati terlebih dahulu, maka menikahlah lagi,” pinta suaminya.
Ummu Salamah terkedu. Air mata bercucuran hiba. Dalam kepayahan, kedengaran suaminya memanjatkan doa buat Ilahi,
“ Ya Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik dariku yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya.”
Demikian dipamerkan keikhlasan cintanya kepada Ummu Salamah sebelum dia menutup mata selamanya. Ummu Salamah tidak mampu menahan rasa sebak di dada. Dia mengeluh,
“Siapakah orang yang lebih baik dari Abu Salamah?”

Menangisi Pemergian Si Dia

Ubaid bin Umair berkata bahawa Ummu Salamah menuturkan,
“Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku bermonolog, ‘Kini dia menyendiri dan berada di tempat yang asing. Aku ingin meratapi pemergiannya sekuat-kuatnya.’ Sememangnya aku telah siap sedia untuk menangisinya. Datanglah seorang wanita dari daerah A’wali bersimpati dan ingin meratap bersamaku,  Rasulullah lalu mencegahnya sebanyak dua kali. Aku lantas menahan diri daripada menangis.” (Rujuk HR Ahmad, vol.6 hlm.289. dan Muslim no. 922, kitab AL-Janaaiz, bab al-Bukaa’ a’lal Mayyit).
Ummu Salamah mendatangi Rasulullah SAW lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang harus saya ucapkan (dalam musibah ini)?”
Rasulullah SAW mengajar, “Ya Allah, ampunilah dosa kami dan dosanya. Berikanlah aku pengganti yang soleh setelah ditinggalkan olehnya.” (Riwayat Muslim, no.919 dan Ahmad vol.6, hlm. 291).


Siapa yang Lebih Baik Daripada Abu Salamah?


            Hati Ummu Salamah sering tertanya-tanya, siapakah yang lebih baik daripada Abu Salamah. Cintanya kepada suaminya itu terlalu besar dan hatinya bagaikan keliru, masih adakah nanti pinangan yang lebih baik hingga mampu mengalihkan cintanya?
            Umar bin Abu Salamah menceritakan, setelah iddah ibunya berakhir, datanglah pinangan Abu Bakar untuk memuliakannya. Ummu Salamah menolak dengan hikmah. Menyusul pula pinangan Umar. Hati wanita itu masih belum terbuka untuk menerima sesiapa. Cinta suci Abu Salamah tetap terpahat di hati.
            Akhirnya, pinangan Rasulullah SAW menjengah rumah Ummu Salamah melalui utusan Hathib bin Abu Balta’ah. Mulanya, Ummu Salamah hampir sahaja menolak sebagaimana Ummu Hani’ binti Abu Thalib menolak pinangan Nabi. Berkata Ummu Salamah,
“Aku adalah wanita yang mudah cemburu. Aku takut rasa cemburu itu nanti akan menjadi sebab Allah murka padaku. Tambahan pula aku ini wanita yang sudah tua dan mempunyai ramai anak.”
Merujuk hadis riwayat Muslim, Rasulullah tetap memujuknya dengan berjanji akan berdoa kepada Allah untuk memberi kecukupan kepada anak perempuannya yang masih kecil dan menghilangkan rasa cemburunya. Lantaran yakin dengan doa Rasulullah, Ummu Salamah lantas menerima  pinangan baginda. Dia berkata,
“Wahai Umar (puteranya), bangkitlah dan terimalah pinangan Rasulullah SAW untuk menikahiku.”
Teka-tekinya terjawab kini. Lelaki sebaik Rasulullah SAW ternyata mampu mencairkan hatinya untuk mendapat pengganti yang lebih baik daripada Abu Salamah. Tatkala dimuliakan sebagai ummahatul mukminin, tertunailah janjinya kepada bekas suami.

Keistimewaan Ummu Salamah Sebagai Isteri Nabi
IsteIsteri KKe-6 Nabi
Sebab Pernikahan
Hikmah Pernikahan
Asam Garam Rumah Tangga
Tahun dan Tempoh pernikahan
Ummu Salamah
Rasulullah SAW ingin menafkahi dan melindungi janda yang kematian suami. Suaminya mati akibat perang. Suaminya Abu Salamah cedera dalam peperangan Uhud kemudian meninggal dunia.
1.Ummu Salamah banyak meriwayatkan hadis iaitu 378 hadis dan menjadi saksi dalam hidup baginda.

2.Kebijaksanaannya membawa berkat yang besar terutamanya dalam memberikan buah fikiran yang bernas kepada Nabi dalam peristiwa Hudaibiyah.

3.Antara hukum yang diriwayatkannya ialah:
-Rasulullah tidur dalam satu selimut dengan dirinya yang sedang haid.
-Rasulullah menciumya ketika dia sedang berpuasa.
-Rasulullah mandi junub degannya dari satu wadah.
(Muttafaqun alaih).

4.Meminta izin Rasulullah untuk menyampaikan kepada Abu Lubabah bahawa Allah telah menerima taubatnya dalam satu peristiwa Bani Quraizhah.

5.Menjadi penyebab kesediaan Nabi untuk memaafkan sepupu Ummu Salamah, iaitu Abu Sufyan bin Harits dan Abdullah bin Abi Umayyah.

6.Ummu Salamah bersama Rasulullah melihat malaikat Jibril dalam rupa sahabat bernama Dihyah.

1.Al-Muthallib bin Abdullah berkata, “Janda terhormat bangsa Arab itu masuk ke rumah tangga Rasulullah SAW, di awal malam sebagai pengantin dan di akhir malam sudah menggiling gandum.” (Siyar A’laam al-Nubalaa’).

2.Seorang isteri yang cemburu dan suka memberi perhatian kepada anak-anaknya. Hinggakan pada hari-hari awal pernikahan, Nabi berasa malu untuk tidur bersamanya kerana dibawanya sekali puterinya yang masih menyusu bersama ke tempat tidur.

3.Beliau sering dicemburui oleh Aisyah.
4Hijrah
7 tahun


Perginya Ratu Agama
Imam Az-Zahabi berkata, “Dia adalah ummul mukminin terakhir yang meninggal dunia.”
Ia hidup sekitar 90 tahun dan mengalami masa pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin hingga pemerintahan Yazib bin Mua’wiyah. Semoga Allah meredhainya dan membuatnya redha.

By : Ustazzah Fatimah Syarha

HAFSAH BINTI UMAR

DICERAIKAN NABI NAMUN DIBELA JIBRIL.

            Siapakah Hafsah binti Umar?
  1. Beliau adalah puteri Umar al-Khattab, sahabat Nabi yang terkemuka.
  2. Bondanya ialah Zainab binti Mazh’un, saudara perempuan kepada sahabat Nabi, Ustman bin Mazh’un yang merupakan insan pertama yang dimakamkan di Baqi’.
  3.  Anak saudara kepada Zaid bin Khattab, seorang yang syahid dalam Perang Yamamah.
  4.  Ibu saudaranya ialah Fatimah binti Khattab, yang merupakan salah seorang sahabat pertama masuk Islam, isteri kepada Sai’d in Zaid yang dijamin syurga.
  5. Abang Hafsah ialah Abdullah bin Umar yang dipuji Rasulullah SAW sebagai seorang yang soleh (Rujuk riwayat Bukhari, no.3741, kitab Al-Manaaqib, Muslim, no.2478, kitab Fadhailus sahabah). 
Kelahiran Penuh Berkat

            Ketika penduduk Quraisy kecoh dengan banjir besar yang menimpa Kaabah, sehingga berlaku ketegangan dalam meletakkan kembali Hajarul Aswad, Rasulullah SAW hadir dengan penuh wibawa menjadi hakimnya. Peristiwa ini berlaku lima tahun sebelum kenabian. Sekitar peristiwa itulah, Hafsah  lahir di tengah keluarga yang penuh kemuliaan.
            Sejak kecil, beliau menekuni ilmu sastera. Tekun belajar membaca dan menulis daripada Syifa’ binti Abdullah Al-Quraisyiyah Al-A’dawiyah. Kesungguhannya menjadikan dirinya antara wanita Quraisy yang paling fasih berbicara, bersenikan sastera indah.
            Keislaman ayahandanya, Umar membawa berkat yang besar kepada seluruh umat Islam apatah lagi di dalam keluarganya. Abdullah bin Mas’ud berkata, “Kami tidak dapat solat di depan Kaabah kecuali setelah Islamnya Umar.” (Riwayat Ibnu Saad, vol.1, hlm. 270, dan Hakim, vol.3 hlm. 83-84). Hafsah membesar di bawah didikan salah seorang sahabat kesayangan Nabi itu.

Bersatu Cinta Dengan Khunais

            Khunais bin Hudzafah r.a. (saudara Abdullah bin Hudzafah r.a.) merupakan salah seorang sahabat pertama yang masuk Islam. Keislamanya bermula sebelum Rasulullah SAW menjadikan rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam sebagai markaz gerakan Islam lagi. Abu Bakar as-Sidiq yang menjadi menara hidayah buatnya.
Khunais meminang Hafsah yang sedang mekar meniti usia remaja. Umar menerima baik lamaran ke atas puterinya. Hafsah juga senang dengannya. Cinta Hafsah dan Khunais lalu bersatu. Mereka hidup bahagia dengan kejelasan iman dan ubudiyah kepada Allah SWT.

            Hijrah Bersama

Penentangan musyrikin Makkah semakin menggila. Kekejaman berlaku di mana-mana. Suami Hafsah terpaksa ikut berhijrah ke Habsyah. Namun, hatinya tetap di Makkah.
Si suami kembali ke Makkah, membawa isteri tercinta hijrah ke Madinah, menyahut  saranan Rasulullah SAW. Mereka hidup lebih tenang di samping golongan Ansar yang sangat penolong sifatnya.

            Terpisah Dua Jiwa

Dakwah Islam menuntut pengorbanan. Panggilan jihad di medan Badar menguji keimanan. Hafsah dengan rela hati meneguhkan perwiranya agar menyahut seruan itu. Di minda Khunais, syahid menjadi cita-cita teragung.
Pahlawan Badar itu berperang gagah. Seiring doa Hafsah. Biarpun mata pedang membelasah tubuhnya di sana-sini, undur tidak sekali. Khunais terus setia bertempur sehingga Islam mengangkat panji kemenangan.
Hafsah ternanti-nanti kepulangan perwiranya. Syukur kerana suaminya kembali. Namun, pulangnya Khunais dengan kecederaan parah. Hayatnya tidak lama. Rasulullah SAW menguburkan suaminya di Baqi’, berdampingan dengan kubur Ustman bin Mazh’un.
Hafsah reda dalam tangis kesedihan. Usianya yang masih muda, sekitar 18-20 tahun, menjadikan pemergian kekasih hati itu suatu ujian yang menyakitkan. Tabah Hafsah menerima ketentuan. Ramai insan bersimpati terutamanya Umar, ayahanda Hafsah.

Dianugerahi Suami yang Jauh Lebih Baik

Sebak jiwa Umar melihat puterinya sering dirundung pilu. Sebagai ayah, dia tidak mahu kematian Khunais turut mematikan keceriaan Hafsah. Umar tekad mencari pengganti.
Umar menawarkan Hafsah kepada Abu Bakar. Abu Bakar tidak memberikan jawapan. Hanya berdiam diri. Dari riak wajahnya, Umar tahu Abu Bakar keberatan.  Abu Bakar bukan tidak bersimpati kepada Hafsah namun beliau sebenarnya sedang menjaga rahsia Rasulullah yang berniat untuk menikahi Hafsah. (Rujuk HR Bukhari, no. 5122).
Umar tidak berputus asa. Umar menawarkan pula Hafsah kepada Usman namun Usman menolak.
“Saya belum bersedia berkahwin buat masa sekarang,” kata Usman. Usman merupakan seorang lelaki yang setia hanya kepada seorang isteri. Isteri Usman, Ruqayyah merupakan puteri Rasulullah. Rasulullah SAW tidak rela semua menantunya memadukan puteri-puteri baginda selagi hayatnya dikandung badan. (Rujuk hadis sahih riwayat Bukhari).Demikian kasih ayah bergelar Rasulullah SAW yang cukup memahami betapa berisikonya hidup bermadu yang boleh membawa agama seseorang wanita kepada fitnah atau ujian. Tidak hairanlah dalam Islam, poligami itu cuma rukhsah apabila ada keperluan mendesak bukannya galakan agama. Apabila Ruqayyah meninggal, Usman masih rela keseorangan.
Umar lalu mengadukan kesedihannya kepada Rasulullah. Rasulullah SAW lalu menghiburkannya, “Hafsah akan bernikah dengan orang yang lebih baik daripada Ustman. Manakala Ustman akan bernikah dengan wanita yang lebih baik daripada Hafsah.”
Tidak lama kemudian, Hafsah dipinang oleh Rasulullah SAW. Umar lalu menikahkan puterinya dengan penuh rasa gembira. (Riwayat Bukhari, vol. 9, hlm. 102-103). Sementara itu, Rasulullah SAW menikahkan Ustman dengan puterinya Ummu Kultsum, bagi merawat kesedihannya yang ditinggal Ruqayyah.
Hafsah dimuliakan sebagai ummul mukminin pada tahun ke-3 hijriah, sebelum Perang Uhud. Rasulullah SAW memberikannya mahar sebanyak 400 dirham. Kesedihan Hafsah pantas terubat kerana digantikan Allah dengan anugerah suami terbaik di dunia. Itulah ganjaran bagi insan yang tabah mengharungi ujian hidup.

Kreatif dan Penuh Idea dalam Persaingan Merebut Cinta Suami

Allah SWT menegaskan di dalam Al-Quran, Surah al-Nisa’ ayat 129, tiada seorangpun yang mampu berlaku adil dalam soal cinta. Fitrah cinta, ingin diberi perhatian. Hafsah juga begitu.                     
Rasulullah SAW sangat adil dalam gilirannya dan nafkah zahir. Namun, sebagai manusia biasa, Hafsah tahu cinta Rasulullah SAW amat cenderung kepada Aisyah selepas Khadijah. Hafsah lalu merapati Aisyah dalam strategi merebut cinta suami. Apatah lagi, beliau dan Aisyah sama-sama masih muda dan otak penuh idea.
Hafsah dan Aisyah pernah berpakat untuk mengurangkan masa Rasulullah di rumah Zainab binti Jahsy. Hidangan madu di rumah Zainab binti Jahsy membuatkan mereka berasa cemburu. Diatur rencana apabila Rasulullah masuk ke rumah salah seorang daripada mereka, mereka akan berkata kepada Rasulullah bahawa bau mulut baginda seperti bau maghafiir (sejenis makanan berbau tidak enak). (Rujuk lanjut HR Bukhari, no. 4912 dan muttafaq a’laih).
Hafsah juga pernah membuka rahsia Rasulullah SAW kepada Aisyah kerana kecemburuaannya melihat Rasulullah  SAW sukakan seorang hamba bernama Mariah al-Qibtiyah dan kerap menggaulinya.
Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya memenangi hati isteri-isterinya. Ia suatu perkara yang amat sukar. Dalam kelembutan sikap, Nabi tetap berkerja keras untuk sebuah keadilan. 
Tatkala cemburu yang fitrah sudah bertukar menjadi fitnah atau ujian, Allah menegur pakatan-pakatan isteri-isteri baginda itu di dalam Surah at-Tahrim. Demikian pedihnya cemburu hinggakan wanita paling berimanpun sukar menguruskannya hingga mendapat ugutan langsung daripada Allah SWT. Kisah mereka ini Allah akan terus dedahkan hingga akhir zaman kerana ia terakam di dalam al-Quran. Semoga kita mengambil pengajaran.

Cinta Teruji

Kreativiti Hafsah yang berusaha keras menyenangkan suaminya sudah bertukar menjadi perkara yang menyusahkan Nabi. Bagi Nabi, Hafsah perlu diberi pengajaran. Baginda telah menceraikan Hafsah talak satu. Dunia bagaikan gelap gelita bagi Hafsah. Diceraikan suami bergelar Nabi memang menyiksakan batinnya.
Allah menunjukkan bukti Dialah kekasih paling memahami. Dia memahami jiwa Hafsah. Memahami kesedihannya. Memahami setiap rahsia hatinya. Allah seakan mengiktiraf perbuatannya bukan berniat jahat, cuma ingin dicintai oleh seorang suami. Tagihkan perhatian. 
Apakan daya, Nabi sudahpun berlaku adil dalam soal giliran namun tidak mampu berlaku adil dalam soal cinta. Para ulama antaranya Syeikh Muhammad Abduh mengatakan ayat-ayat poligami di dalam al-Quran berbentuk ancaman (tarhib)atau peringatan, bukannya galakan (targhib).
Lalu, Allah menghantarkan Jibril untuk mengangkat kembali kemuliaan Hafsah di mata Nabi. Jibril berkata, “Dia (Hafsah) adalah seorang ahli puasa dan solat. Dia adalah bidadarimu di syurga.” Atas perintah Jibril, Rasulullah SAW merujuknya kembali. (Rujuk lanjut HR Abu Dawud, no. 2287).

Jiwa Murabbi Hafsah

  1.  Berilmu luas, faqih dan bertakwa.
  2. Ahli puasa dan solat malam.
  3. Berminda kelas tinggi hingga menjadi tempat rujukan hukum, hadis dan ibadah hingga zaman Khulafa’ rasyidin.
  4. Pandai menulis dan membaca pada zaman di mana amat sedikit orang memiliki dua kelebihan ini.
  5. Seorang yang amanah. Diamanahkan oleh Saidina Abu Bakar untuk menjaga lembaran-lembaran al-Quran yang telah berhasil dikumpulkan oleh Zaid bin Tsabit. Hinggalah ke zaman Saidina Ustman.
  6. Sentiasa memuhasabah diri. Berkata Abu Nuaim, “Wanita ahli puasa dan solat. Selalu memandang dirinya tidak bererti dan selalu memuhasabah diri. Hafsah binti Umar bin Khattab, pewaris dan penjaga lembaran-lembaran al-Quran.” (Hilyatul Auliyaa’, vol.2, hlm. 50).
Perginya Hafsah
            Pada tahun 41 Hijriah, beberapa hari berselang dari bulan Syaaban, Hafsah dijemput kembali mengadap Tuhannya. (Shifatus Shafwah, vol.2, hlm. 40).
            Beliau dimakamkan di Baqi’. Saat itu, usianya 63 tahun. Sebelum wafat, beliau sempat mensedekahkan semua hartanya yang masih tersisa. Semoga Allah meredhainya.
By : Ustazzah Fatimah Syarha

Zainah Binti Jahsy

"Hanya kau di hatiku..." 

Kisah Cinta Zainab Binti Jahsy
Profil
·         Dibesarkan di Makkah, sekitar 33 tahun sebelum kenabian.
·         Sepupu Rasulullah SAW.
·         Puteri daripada ibu saudara Rasulullah SAW yang bernama Umaymah binti Abdul Muthalib bin Hasyim.
·         Berparas cantik jelita.
·         Berdarah bangsawan yang terhormat iaitu keturunan suku Faras.
·         Mempunyai adik-beradik yang hebat-hebat seperti Abdullah bin Jahsy, pemimpin pasukan Islam yang dilantik Nabi, Abu Ahmad bin Jahsy, penyair tersohor yang membela agama dengan sasteranya, dan Hamnah binti Jahsy, generasi pertama memeluk Islam.
·         Anak saudara kepada lelaki-lelaki hebat seperti Hamzah, Singa Allah dan Abbas yang berjasa.
·         Dinikahkan oleh Rasulullah SAW dengan anak angkat kesayangan baginda iaitu Zaid bin Haritsah, kemudian diceraikan Zaid dan dinikahi pula oleh Rasulullah SAW atas perintah Allah SWT.
·         Beliau sangat pemurah hingga Nabi menjulukinya dengan gelaran ‘panjang tangan’ dan merupakan isteri yang paling cepat menyusuli kewafatan Nabi.
Golongan Pertama Beriman
Abang kandung Zainab iaitu Abdullah bin Jahsy sangat mengagumi akhlak, pemikiran dan kematangan Rasulullah SAW. Tidak hairanlah apabila Rasulullah SAW diangkat menjadi Nabi, beliau segera beriman dan setia mengikuti ajaran  baginda di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam.
Ajaran mulia itu segera disebarkan kepada keluarga terdekat. Ia disambut penuh yakin oleh adik-adiknya, Zainab dan Hamnah. Ketika penentangan Quraisy memuncak terhadap ajaran  Islam, keluarga besar ini turut berhijrah ke Madinah.
Memendam Cinta Terhadap Nabi
Zainab seakan dipersiapkan oleh Allah SWT untuk menjadi Ummul Mukminin apabila Dia memudahkannya untuk melengkapkan diri dengan segala sifat terpuji. Beliau rajin bersedekah, berpuasa, solat malam dan suka berbakti kepada orang sekeliling. Beliau sangat mudah disenangi.
Zainab  sejak  awal amat bercita-cita menjadi isteri Rasulullah SAW. Gadis mana yang  tidak terpikat dengan susuk berwibawa semulia Nabi? Memang ramai gadis dan janda pada zaman itu yang memendam hasrat yang sama.
Apabila Rasulullah SAW masuk meminang, Zainab berasa amat gembira. Hatinya berbunga-bunga. Namun, alangkah terkejutnya Zainab apabila mengetahui bahawa pinangan itu bukan untuk baginda sebaliknya untuk anak angkat baginda.
Berkorban Demi Cinta Agung
            Ibnu Katsir meriwayatkan dalam tafsirnya, “Al-Aufi meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas RA menafsirkan ayat “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin…”(Surah al-Ahzab: 36) seperti berikut:
            Rasulullah SAW berhasrat meminang Zainab binti Jahsy al-Asadiyyah R.HA untuk dinikahkan dengan Zaid bin Haritsah RA. Mendengar hal ini, Zainab menolak,
“Saya tidak mahu menikah dengannya.”
Rasulullah SAW tetap meminta, “Kamu harus menikahinya.”
Zainab merayu, “Wahai Rasulullah, bolehkah saya mempertimbangkannya dahulu?”
Ketika mereka sibuk berbincang, Allah SWT menurunkan ayat ini, “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka …”(Surah al-Ahzab: 36)
Zainab menunjukkan pengorbanan agung apabila terpaksa rela menikahi lelaki yang tidak disukainya semata-mata mahu memenuhi perintah Rasul dan rencana Ilahi.
Menikahi Insan yang Tidak Dicintai
Berkata Zainab tatkala membaca firman Allah,
“Kalau begitu, saya tidak mahu derhaka kepada Allah dan Rasul. Saat ini juga saya bersedia menikah dengannya.” (Fizilaalil quran, Sayyid Qutb, vol.5, hlm. 2865). Pengorbanan itu dilakukan semata-mata kerana cintanya kepada Allah dan Rasul.
Dalam Islam, tiada paksaan dalam urusan perkahwinan. Namun, kes Zainab adalah kes yang tersendiri dan istimewa. Allah dan Rasul mempunyai strategi tertentu.
Bernikahlah Zainab dengan Zaid bin Haritsah, anak angkat kesayangan Nabi dan dikenal sebagai Zaid bin Muhammad. Antara salah satu hikmah Rasulullah SAW menikahkan Zainab, si gadis bangsawan dengan Zaid, si pemuda miskin ialah bagi menggugurkan perbezaan darjat di antara manusia.
Ketika rumah tangga mereka bergolak, Zaid banyak mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah menyuruh Zaid tetap bersabar. Zaid dan Zainab ternyata tidak serasi setelah setahun cuba menyemai cinta. Perceraian menokhtahkan konflik mereka. Allah SWT menurunkan ketentuan-Nya agar Nabi menikahi Zainab selepas Zaid menceraikannya.
Hikmah agung pernikahan Rasulullah SAW dengan Zainab, ia menghapuskan hukum anak angkat yang dilayan bagaikan anak sendiri dalam soal mewarisi dan hukum-hakam pernikahan. Perbuatan Nabi ini menyebabkan orang Islam tidak keberatan lagi untuk menikahi bekas isteri anak angkat mereka sebagaimana adat sosial yang menebal dalam masyarakat ketika itu.
Allah Mendedahkan Rahsia Hati Nabi
            Ibnu Abu Hatim menceritakan dari jalan periwayatan Ali bin Zaid dari Ali bin al-Husain bin Ali  bahawa dia berkata,
“Allah memberitahu Nabi-Nya bahawa Zainab akan menjadi salah seorang isteri baginda sebelum baginda menikah dengannya. Oleh sebab itu, ketika Zaid mengadukan persoalan rumah tangganya yang  tidak kunjung membaik kepada baginda dan baginda menyarankan agar dia bertakwa kepada Allah dan tetap mempertahankan isterinya itu, maka Allah ingin mengatakan kepada baginda,
“Aku sudah memberitahumu bahawa Aku menikahkan engkau dengannya. Engkau menyembunyikan sesuatu di dalam dirimu yang akan Allah nyatakan kepada semua orang.” (Fathul Bari, vol.8, hlm 384).
Firman Allah SWT:
“Dan ingatlah ketika kamu berkata kepada orang yang telah Allah limpahkan nikmat kepadanya, “Pertahankan terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah.”  Sedang kamu  menyembunyikan sesuatu di dalam dirimu yang akan Allah nyatakannya. Dan kamu takut kepada manusia sedangkan Allahlah yang lebih berhak kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya). Kami kahwinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adapun ketetapan Allah itu pasti terjadi.” (Q.S.33:37 )
Ujian Bermadu
Anas meriwayatkan, Zainab sering berbangga-bangga atas para isteri Rasulullah yang lain kerana dinikahkan oleh Allah dari tujuh lapis langit. Bukhori meriwayatkan dari Anas, Zainab sering berkata, “Aku berbeza dari isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang lainnya. Mereka dikahwinkan oleh ayahnya, atau saudaranya, atau keluarganya, tetapi aku dikahwinkan Allah dari langit.”
Anas menceritakan bahawa Aisyah dan Zainab bertengkar sehingga bersuara tinggi, padahal sudah terdengar azan solat. Abu Bakar melintasi dan terdengar suara pertengkaran mereka. Maka dia berkata, “Keluarlah wahai Rasulullah, dan taburkan tanah ke dalam mulut mereka”. Aisyah berkata, “Sekarang Nabi sedang solat.” Abu Bakar datang dan melakukan sesuatu terhadap Aisyah seraya mengecam dengan keras, “Kenapa kamu buat begini?” (HR. Muslim).
Pada suatu malam, Zainab datang ke rumah Aisyah. Pada masa itu, rumah-rumah belum diterangi lampu. Kemudian Nabi masuk lalu menghulurkan tangannya kepada Zainab tanpa sengaja. Aisyah terus berkata, “Itu Zainab!” Nabi segera menarik tangannya.
Aisyah sangat cemburukan madunya Zainab binti Jahsi, dia berkata, “Baginda (Rasulullah) berada di sana melebihi waktu saya maka saya cemburu.” Aisyah kemudiannya berunding dengan Hafshah merancang satu komplot. Siapa sahaja isteri Nabi yang didatangi baginda, beliau harus mengatakan, “Sesungguhnya aku mencium bau maghafir (makanan yang baunya tidak enak) padamu, adakah engkau baru habis minum maghafir?” Maka setiap isteri yang diziarahi baginda, mereka akan bertanyakan soalan yang sama. Nabi berkata, “Saya tadi minum madu di rumah Zainab dan saya tidak akan mengulanginya lagi.” Maka turunlah ayat Allah: (At-Tahrim: 1-4) menegur pakatan bohong ini.
Zainab sering dicemburui. Aisyah berkata, “Dia (Zainab) adalah isteri Nabi SAW yang nyaris setara denganku dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain)” (HR Bukhari).
Zainab pernah mengejek Shafiyah binti Huyay sebagai anak Yahudi sehingga Rasulullah marah kepadanya dalam tempoh yang agak lama.
Pujian Buat Zainab
Dari Aisyah R.HA berkata, “Zainab binti Jahsy adalah seorang dari isteri-isteri Nabi yang saya muliakan. Allah SWT menjaganya dengan ketakwaan dan saya belum pernah melihat wanita yang lebih baik dan lebih banyak sedekahnya dan selalu menyambung silaturahim dan selalu mendekatkan dirinya kepada Allah selain Zainab.”
Imam Az-Zahabi berkata dalam Siyar A’alaam an-Nubalaa’, “Dia adalah seorang tokoh wanita yang mulia dalam hal ketaatan beragama, kewarakan, kedermawanan dan kebaikan.”
Abu Nua’im berkata, “Dia adalah seorang wanita yang khusyuk, selalu redha, banyak mengadu dan berdoa kepada Allah.” (Hilyatul Auliyaa’, vol.2, hlm.  51).

Model Isteri Berkerjaya
Beliau memiliki pelbagai macam keahlian dan kepakaran. Beliau mahir menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutera, hasilnya dijual dan disedekahkan. Itulah kerjaya Zainab yang menguatkan sumber ekonominya hinggakan beliau mempunyai keistimewaan sebagai seseorang yang banyak bersedekah.
Rasulullah pernah bersabda kepada isterinya, “Yang paling dahulu menyusulku kelak adalah yang paling panjang tangannya.” Maka berlumba-lumbalah isteri baginda mengukur tangan mereka. Apabila Zainab yang pertama kali menyusuli baginda, tahulah mereka bahawa itu kiasan bagi orang yang banyak bersedekah.
Zainab wafat pada 20 Hijriah, dimakamkan di Baqi’. Semoga Allah meredhainya.

AISYAH BINTI ABU BAKR R.HA

Lumrah Cinta
           
Lumrah cinta, seorang kekasih paling cenderung pada seorang sahaja kekasih dalam bab hati dan perasaan. Tiada seorang lelakipun di dunia ini yang mampu berlaku adil dalam hal cinta. Keadilan hanya mampu berlaku dalam hal luaran semata-mata. Begitulah kecenderungan cinta Rasulullah SAW kepada Aisyah r.ha, ia bukan lagi satu rahsia. 

Siapakah wanita pertama di hati Rasulullah SAW selepas Khadijah r.ha? Bukan Saudah r.ha sebaliknya Aisyah r.ha. Baginda menikahi Saudah r.ha dan Aisyah r.ha pada masa yang sama. Saudah ketika itu merupakan janda yang sudah tua, uzur, gemuk dan tidak menarik. (Rujuk Mahmud al-Mishri, 35 Sirah Shahabiyah). Memandangkan Aisyah r.ha masih kecil, Saudah r.ha lebih dahulu berada di sisi Nabi setelah Khadijah r.ha. Namun, Aisyah r.ha lebih dahulu memenangi hati dan cinta baginda berbanding Saudah r.ha. 

Allah SWT banyak kali menghadirkan mimpi tentang wanita suci bernama Aisyah r.ha. sebelum hadirnya Saudah r.ha. Dalam kecemburuan, Aisyah redha seorang demi seorang janda-janda yang perlukan pembelaan, menumpang kasih suaminya.Kenapa? Kerana dia sedar semua itu hanya untuk kepentingan Islam, bukan kepentingan nafsu baginda. Oleh sebab lumrah cinta yang tiada ‘dua’ ini, tidak hairanlah, Prof. Dr. Mahmud Zuhdi menjelaskan dalam bukunya yang terkenal, Undang-undang Keluarga Islam bahawa majoriti ulama mengatakan poligami itu diharuskan bukannya digalakkan.

Kelebihan Aisyah r.ha.

            Aisyah r.ha berbicara, “Ada 7 kelebihanku yang tidak dimiliki wanita lain kecuali kelebihan yang diberikan Allah kepada Maryam binti I’mran. Demi Allah, dengan mengatakan hal ini aku tidak bermaksud membanggakan diriku atas teman-temanku (isteri-isteri Rasulullah yang lain).”

            Abdullah bin Shafwan bertanya, “Apa 7 kelebihan itu wahai ummul mukminin?”
Aisyah r.ha menjawab,
1)Malaikat (Jibril) membawa imejku kepada Rasulullah SAW (dalam mimpi).
2)Rasulullah SAW menikahiku saat diriku berumur 7 tahun, lalu aku diserahkan serumah dengan baginda saat berusia 9 tahun. Baginda menikahiku saat aku perawan.
3)Beliau menerima wahyu ketika sedang berada dalam satu selimut denganku.
4) Aku adalah orang yang paling dicintai oleh baginda dan puteri dari orang yang paling baginda sayangi (Abu Bakr).
5) Allah menurunkan beberapa ayat-ayat Al-Quran kerana aku di saat umat hampir celaka kerananya.
6) Aku pernah melihat Jibril dan tidak ada seorangpun di antara isteri-isteri Rasulullah lainnya yang pernah melihatnya.
7) Rasulullah SAW meninggal di rumahku pada saat tidak ada orang yang menguruskannya, selain diriku dan malaikat.
(Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaid, no. 15308, “Riwayat ini tercantum dalam kitab Ash-Shahih dengan ringkas sementara riwayat di atas dari Thabrani. Para perawi dalam salah satu sanat riwayat Thabrani adalah perawi-perawi kitab al-Shahih. Rujuk juga riwayat Hakim, vol.4, hlm. 10. Hakim menyatakan hadis ini sahih dan al-Zahabi menyetujuinya).

Kedudukan Aisyah r.ha di Hati Rasulullah

            Dalam riwayat lain, Aisyah r.ha bercerita, “Rasulullah SAW masuk ke rumahku dan baginda mendapatiku sedang menangis. Baginda bertanya, “Mengapa dinda menangis?” Aku menjawab, “Fatimah menghinaku.” Rasulullah SAW segera memanggil Fatimah lalu berkata, “Wahai Fatimah, apakah benar anakanda menghina Aisyah?” Fatimah menjawab, “Benar, wahai Rasulullah.” Rasulullah SAW berkata, “Bukankah anakanda mencintai apa yang ayahanda cintai?” Fatimah menjawab, “Sudah tentu.” Rasulullah SAW berkata, “Sesungguhnya ayahanda mencintai Aisyah, maka cintailah dia.” Fatimah berkata, “Kalau begitu, saya tidak akan pernah mengatakan sesuatu yang dapat menyakiti Aisyah lagi.” (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaid, no.15311, perawi-perawi lainnya adalah para perawi kitab al-Sahih)

Cemburu Aisyah Bukan Kekurangan Tapi Tanda Besarnya Cinta

            Aisyah menceritakan, “Suatu ketika Rasulullah SAW berkata kepadaku, ‘Sesungguhnya kanda tahu bila dinda sedang senang kepada kanda dan bila dinda sedang marah.’ Aku bertanya, ‘Bagaimana kanda tahu?’ Baginda menjawab, ‘Jika dinda sedang senang kepada kanda, maka dinda akan mengatakan, demi Tuhan Muhammad! Tapi jika sedang marah, dinda akan mengatakan, tidak, demi Tuhan Ibrahim! Aisyah berkata, ‘Itu benar. Demi Allah ! Dinda hanya mampu menjauhi namamu.’” (Muttafaqun Alaih).

            Imam al-Nawawi berkata, “Mengenai pernyataan Rasulullah kepada Aisyah ini, al-Qadhi berkata, ‘Kemarahan Aisyah kepada Nabi adalah dalam bentuk kecemburuan kepada baginda. Kecemburuan menjadi faktor tidak berlakunya sekian banyak hukum bagi wanita kerana ia tidak dapat dipisahkan daripadanya. Bahkan Imam Malik dan ulama-ulama Madinah lainnya berpendapat, tidak berlaku bagi wanita yang menuduhnya suaminya berzina ketika ia sedang cemburu. Pendapat ini berdasarkan hadis Nabi, ‘Wanita cemburu tidak dapat membezakan antara bibir lembah dan dasarnya.” 

Jika pengertian hadis di atas tidak bermaksud kemarahan kerana cemburu, maka Aisyah berada dalam kedudukan yang sangat sulit kerana marah dan menjauhi Rasulullah SAW merupakan dosa besar. Untuk itu Aisyah r.ha berkata, “Dinda hanya mampu menjauhi namamu.” Ini menunjukkan perasaan hati dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW tetap seperti sedia kala. Kecemburuan wanita didorong oleh rasa cinta yang terlalu besar.” (Rujuk Shahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, vol.15. hlm.292-293).

Minta Digigit Ular dan Kala Jengking agar Mendapat Perhatian Suami

            Aisyah mengatakan bahawa jika Rasulullah SAW hendak melakukan perjalanan jauh, maka baginda akan mengundi siapa di antara isterinya yang akan menemani baginda. Suatu ketika, Aisyah dan Hafsah terpilih sehingga mereka berdua sama-sama mengikuti baginda. Selama dalam perjalanan, Rasulullah SAW memilih waktu malam untuk berjalan dan berbincang dengan Aisyah. Oleh sebab itu, pada suatu hari Hafsah berkata kepada Aisyah, “Apakah awak bersedia jika malam ini, saya menaiki unta awak dan awak menaiki unta saya, lalu kita tetap menjaga jarak hingga kita dapat saling melihat.” Aisyah bersetuju.

            Saat malam tiba, Aisyah menaiki unta Hafsah, sedangkan Hafsah menaiki unta Aisyah. Kemudian datanglah Rasulullah dan naik di bahagian depan unta Aisyah yang kali ini membawa Hafsah. Setelah mengucapkan salam, beliau menjalankan untanya hingga beristirehat di suatu tempat. Saat itulah Aisyah tidak dapat mengikutinya dan kehilangan jejak Rasulullah, maka rasa cemburunya tidak dapat dibendung. Ketika Aisyah sampai di tempat istirehat, beliau lalu menyelitkan kakinya antara daun-daun idzkir lalu berkata, “Ya Tuhanku, suruhlah kala jengking dan ular menggigitku. Rasul-Mu, entah apa yang dilakukannya, sedangkan aku tidak mampu berkata apa-apa. (HR Muslim, no.2445, kitab Fadhailus Sahabah, bab Fii Fadhl Aisyah r.ha.).

Bertanyakan Cinta Lalu Dihiburkan Suami dengan Lafaz Cinta

Aisyah r.ha mengatakan bahawa dia pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling kanda cintai?” Baginda bertanya balik, “Kenapa dinda bertanya seperti itu?” Aisyah menjawab, “Dinda ingin mencintai orang yang kanda cintai.” Baginda menjelaskan, “Dia adalah Aisyah.” (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaa’id no.15309, hadis ini diriwayatkan oleh Thabrani. Sanadnya hasan.)

Lebih Memilih Zuhud daripada Meminta-minta dengan Suami 

Urwah mengatakan bahawa Aisyah r.ha berkata, “Demi Allah, wahai anak saudaraku, kami pernah melihat kemunculan bulan sabit, lalu bulan sabit berikutnya, lalu bulan sabit berikutnya, yakni tiga kali kemunculan bulan sabit atau dua bulan berturut-turut, di rumah-rumah Rasulullah sama sekali tidak dinyalakan api (untuk memasak).”

            Urwah bertanya, “Lalu dengan apa mereka dapat bertahan hidup?” Aisyah menjawab, “Dengan al-Aswadaan, yakni kurma dan air. Hanya sahaja, Rasulullah SAW mempunyai beberapa tetangga daripada kalangan ansar yang mempunyai kambing. Mereka sering mengirimkan susunya kepada beliau. Lalu beliau memberikan kepada kami.” (Muttafaqun a’laih).

            Cerita tentang kezuhudan Aisyah terlalu banyak. Dia memilih kesederhanaan walaupun sering kali dilimpahkan kekayaan. Antara ceritanya yang mahsyur ialah, Urwah pernah menggambarkan gaya hidup Aisyah bahawa dia pernah membahagi-bahagikan 70,000 dirham wang perak padahal saat yang sama, dia menampal jahitan pakaiannya. (al-Zuhd, Imam Ahmad, hlm. 205-206).

            Suatu ketika, Muawiyah pernah mengirimkan 100,000 dirham kepada Aisyah. Maka Aisyah langsung membahagi-bahagikannya tanpa meninggalkan sedikitpun. Sehingga Barirah berkata kepadanya, “Sesungguhnya puan sedang berpuasa. Mengapa puan tidak tinggalkan satu dirham sahaja untuk membeli daging?” Aisyah lalu berkata, “Kalau tadi awak ingatkan saya, sudah tentu saya melakukannya.” (Riwayat Abu Nu’aim dalam kitab al-Hilyah, vol.2. hlm 7).

Banyak Solat dan Puasa      

            Urwah menuturkan bahawa Aisyah selalu berpuasa. Al-Qasim mengatakan bahawa Aisyah berpuasa sepanjang masa. Ia hanya berbuka (tidak puasa), pada hari Aidul Adha dan Aidul Fitri.
            Dalam riwayat lain, Urwah menceritkan bahawa setiap hari, dia memulai kegiatannya dengan mengunjungi ibu saudaranya, Aisyah r.ha untuk mengucapkan salam kepadanya. Pada suatu hari, dia pergi ke rumahnya, ketika itu dia sedang solat dan berdoa. Aisyah terus berdoa dan menangis sambil mengulang-ulang bacaan Surah al-Thur, ayat 27 yang bermaksud, “Maka Allah member kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka.” Urwah berdiri dengan lama hingga dia pergi dahulu ke pasar untuk membeli keperluan. Apabila dia kembali semula ke rumah Aisyah, dia melihat Aisyah masih lagi solat dan menangis.

Tahan Ujian

            Aisyah mengikuti Rasulullah SAW dalam perang Musthaliq setelah undian. Sepulangnya beliau daripada perang ini, beliau telah mendapat ujian berat berupa fitnah tentang perlakuan sumbang. Ia bermula apabila beliau kehilangan kalung lalu mencarinya sehingga tertinggal rombongan. Kebetulan Shafwan bin Mua’ththal as-Sullami berjalan di belakang. Apabila melihat Aisyah, dia lalu membiarkan Aisyah menaiki untanya lalu dituntun menyusuli rombongan.Fitnah menular dengan cepat sehingga Rasulullah bersedih.
            Aisyah yang yakin dengan pembelaan Tuhannya, hanya mampu bersabar. Akhirnya, Allah membersihkan Aisyah daripada fitnah itu dengan turunnya ayat-ayat Al-Quran yang akan terus dibaca sepanjang zaman.

Pemalunya Menghias Iman

            Ummul Mukminin Aisyah berkata, “ Setiap kali aku masuk ke rumahku yang di dalamnya telah dimakamkan jasad Rasulullah SAW dan ayahku sendiri, dan hendak membuka baju, aku berkata dalam hati, ‘Tidak perlu malu kerana di sini hanya ada suamiku dan ayahku sendiri.’ Tetapi setelah Umar RA dimakamkan di tempat yang sama, demi Allah, setiap kali berada di dalam rumah, aku selalu memakai pakaian lengkap, kerana malu kepada Umar RA (Bahjatul Majaalis, al-Qurthubi).
            Sungguh indah peribadi murobbiah kita yang malu kepada insane-insan yang sudah tidak bernyawa. Namun realiti hari ini, sejauh mana rasa malu wanita-wanita kita?

Mengikuti Jejak Kekasihnya

            Qais mengatakan bahawa Aisyah r.ha pernah bercita-cita ingin dikuburkan di dalam rumahnya, di sisi suami tercinta, tetapi kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya aku melakukan suatu kesalahan setelah perginya Rasulullah SAW. Maka, kuburkanlah jasadku bersama ister-isteri baginda yang lain.” Oleh sebab itu, Aisyah dikuburkan di Baqi’, semoga Allah meredainya. (Diriwayatkan oleh Ibnu Sa’ad, vol. 8, hlm 74).

            Maksud ucapan Aisyah, melakukan satu keslaahan, adalah terlibat dalam perang Jamal. Aisyah 
sangat menyesalinya walaupun dia sebenarnya langsung tidak berniat ke arah itu. Dia cuma berijtihad melakukan kebaikan, sebagaimana dilakukan oleh Thalhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam dan sahabat-sahabat yang lain, semoga Allah meredai mereka kesemuanya.

            Pada bulan Ramadhan, tahun 58 Hijriah, Ummul Mukminin Aisyah r.ha menghembuskan nafasnya yang terakhir dan kembali ke pangkuan Tuhannya dengan penuh keredaan. Ketika perginya Aisyah r.ha, Ummu Salamah mengumumkan, “Demi Allah, dia adalah orang yang paling dicintai Rasulullah SAW, selain ayahnya.” Jasad Aisyah r.ha dimakamkan pada malam itu juga tepat setelah solat witir.
 

Saudah Binti Zam'ah

SAUDAH BINTI ZAM’AH R.HA.
“Dinda hanya ingin dibangkitkan sebagai isterimu…”

            Saudah binti Zam’ah, beliaulah insan yang menemani Rasulullah SAW di kamar selepas pemergian kekasih Baginda, Khadijah al-Khuwailid. Meskipun kedudukan dan ketinggian Khadijah di hati Nabi tak mampu ditandingi oleh sesiapapun, namun Saudah ternyata bertuah kerana menjadi salah seorang wanita pilihan Allah SWT untuk meneguk langsung cinta Nabi.

Beliau digambarkan seorang wanita yang tua, uzur dan gemuk ketika menjadi isteri Nabi. Namun, seunggul, sejelita dan seindah manapun wanita pada zaman ini tetap tak akan mampu menandingi walau secebis kemuliaan Saudah sebagai isteri Nabi. Bukankah jelas pernikahan Rasulullah ini kerana kepentingan agama, bukannya nafsu?!

Mari Berkenalan

Saudah binti Zam’ah bin Qais bin Abdu Syams bin Abdud berasal daripada suku Quraisy al-Amiriyah. Puteri kepada wanita bernama Syumush binti Qais bin Zaid bin Amr daripada Bani Najjar.
Pernah bersuamikan Sakran bin Amr, saudara Suhail bin Amr al-Amiri.

Golongan Paling Awal Menyahut Panggilan Fitrah

Ajaran Islam yang cocok dengan kesucian fitrah, kemuliaan akhlak dan kebersihan hati tidak teragak-agak untuk diterima oleh mereka yang memiliki kualiti hati yang istimewa. Golongan yang awal memeluk Islam dimuliakan Allah dengan gelaran as-saabiquunal awwalun. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“orang-orang yang awal (masuk Islam) di antara Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda dengan mereka dan merekapun reda kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 100).
Salah seorang daripada mereka ialah suami Saudah, Sakran bin Amr. Iman yang meresapi segenap jiwanya terasa indah. Beliau lantas memimpin isteri tercinta, Saudah binti Zam’ah untuk sama-sama hidup di bawah kemuliaan tauhid.

Menyaksikan Suami Disiksa

            Pengaruh Islam semakin tersebar di Makkah. Ajaran Muhamad semakin berkesan di hati.  Mengamuklah orang-orang kafir Quraisy. Golongan miskin dan lemah diseret dan disiksa tanpa belas kasihan.
Mengalir air mata Saudah tatkala melihat suaminya Sakran disentap, dipukul dan dibiarkan kelaparan dan kehausan. Namun begitu, imannya tidak goyah. Dia tetap teguh ingin bersama agama Muhammad SAW.
Seperit mana kesedihan Saudah, perit lagi kesedihan Rasulullah SAW tatkala melihat umat yang dicintai menerima penyiksaan sezalim itu. Ketika itu baginda dilindungi oleh pengaruh bapa saudaranya, Abu Talib dan isterinya yang bangsawan, Khadijah. Islam yang masih dalam fasa kelemahan ketika itu tidak memampukan baginda untuk bangkit membela mereka yang teraniaya.
Rasulullah SAW akhirnya menyuruh sahabat-sahabat yang teraniaya agar berpindah ke Habsyah dan minta perlindungan daripada Raja Najasyi sehinggalah Allah membebaskan mereka semua daripada penderitaan ini. Saudah dan suaminya menyahut Sarranan ini. Mereka berlindung di Habsyah dan meniti hari yang tenang di bawah naungan iman.
Setenang manapun berada di tempat orang, tetap tak seindah berada di tanah air sendiri, tanah kelahiran seorang Nabi. Begitulah yang dirasakan oleh orang-orang Islam di Habsyah. Mereka kembali ke Makkah pada saat dakwah Islam masih hebat ditentang.
Penderitaan Saudah tak tertanggung lagi apabila suaminya dipanggil pulang menemui Ilahi. Sakran meninggal dunia di Makkah. Saudah memujuk diri bahawa kasih sayang Allah lebih besar berbanding kasih sayang suami terhadapnya. Wujudkah pengganti yang lebih baik untuk menempati tempat Sakran di hati? Saudah bingung sendiri.

Dilamar Lelaki Terbaik di Dunia

Saudah masih berendam air mata kerana ditinggalkan suami. Rasulullah SAW ketika itu juga dalam kesedihan kerana ditinggalkan isteri, Khadijah al-Khuwailid. Saudah mengetahui tingginya kedudukan Khadijah buat Nabi di dunia dan di akhirat.
Setelah pemergian Khadijah, tiada sahabat yang berani mencalonkan sesiapa untuk Rasulullah kerana mereka percaya tiada wanita sebaik Khadijah yang layak menemani Nabi. Hadirlah seorang sahabat wanita bernama Khaulah binti Hakim untuk menyenangkan hati Nabi dengan berbicara soal pernikahan.
Berkata Khaulah binti Hakim bin Al-Auqash, isteri Uthman bin Mazh’un,
 “Wahai Rasulullah, tak nak kahwin lagi ke?”
Rasulullah bertanya semula,
“Dengan siapa?”
“Terpulanglah. Ada gadis dan ada janda,” jawab Khaulah.
“Jika gadis, siapa orangnya?” Tanya Rasulullah.
“Puteri orang yang paling engkau cintai, Aisyah binti Abu Bakr,” jawab Khaulah. Rasulullah teringat akan mimpi-mimpinya yang dibawa oleh Jibril tentang gadis di balik selendang sutera iaitu Aisyah. Namun, Aisyah masih lagi seorang anak kecil ketika itu. Apapun, Aisyahlah gadis pertama yang hadir dalam impian Rasulullah selepas kewafatan Khadijah kerana diilhamkan sendiri oleh Allah SWT. Tidak hairanlah cinta baginda kepada Aisyah amat menebal. Yang pertama selalunya istimewa! Apatah lagi jika yang pertama itu beragama.
“Jika janda, siapa orangnya?” Tanya Rasulullah lagi.
“Saudah binti Zam’ah. Dia telah beriman kepadamu dan mengikut ajaran agamamu,” jawab Khaulah.  Rasulullah dapat menyelami betapa deritanya Saudah dikelilingi tekanan yang menyesakkan iman dan diuji pula dengan kematian suami. Rasulullah sangat simpati kepadanya. Ada keserasian dalam bentuk ujian, masing-masing ditinggalkan pendamping tercinta.
“Kalau begitu, pergilah dan sampaikan pinanganku kepada mereka berdua,” kata Rasulullah SAW. (Al-Haitsami berkata dalam kitab Majma’uz Zawaaid, no. 15285, “Hadis ini diriwayatkan oleh At-Thabrani. Para perawinya adalah perawi kitab As-Sahih, kecuali Muhammad bin Amr bin Alqamah. Ia dinyatakan hasanul hadis.”)
Dalam riwayat Ahmad, dinyatakan bahawa Khaulah segera menemui Saudah dan ayahnya, Zam’ah. Ketika itu, Zam’ah sudah lanjut usia dan tidak dapat lagi menunaikan haji. Khaulah berkias,
“Kebaikan dan kebahagian seperti apakah ini yang telah Allah anugerahkan kepada kalian?”
Saudah berkerut kehairanan,
“Apa maksudmu?” Tanya Saudah.
Khaulah lantas menyampaikan berita gembira,
“Rasulullah SAW mengirimku untuk menemuimu dan menyampaikan lamarannya kepadamu.”
Hati Saudah berbunga-bunga lantas tumpahlah air mata keharuan. Tidak pernah terbayang baginya untuk mendapat kemuliaan sedemikian rupa. Ketika usianya sudah agak lanjut dan mempunyai susuk badan yang gemuk dan tidak menarik, masih ada yang sudi menyuntingnya. Apatah lagi lelaki itu ialah lelaki paling agung di muka bumi. Sudah tentu lelaki bernama Muhammad bin Abdullah jauh lebih mulia berbanding Sakran.
Saudah lantas menerima walaupun sedar Rasulullah melamarnya semata-mata atas dasar kasihan. Setelah menerima restu ayah, datanglah Rasulullah kepada Saudah, melangsungkan akad nikah dengan mahar berjumlah 400 dirham. (Rujuk Majma’uz Zawaid, no. 15786).

Cara Saudah Mengikat Hati Suami Terhadapnya

Saudah menjadi wanita pertama yang dinikahi oleh Rasulullah SAW setelah kewafatan Khadijah. Beliau menjadi satu-satunya isteri yang menemani hidup Nabi selama tiga tahun sebelum hadirnya Aisyah. Di saat kita pada hari ini berangan-angan ingin bermimpikan Rasulullah, Saudah dapat tidur di sisi Nabi dan berbincang-bincang dengannya. Bukankah Saudah sangat bertuah?
Meskipun Saudah sedar siapalah dirinya berbanding Khadijah namun beliau sentiasa berusaha keras menjadi isteri yang terbaik buat Nabi. Beliau menceritakan saat-saat getir menghadapi tekanan-tekanan kaum musyrikin sehingga memancing  simpati Nabi terhadapnya.
Beliau juga menceritakan hari-hari yang dilalui oleh puteri baginda Ruqayyah bersama suaminya, Utsman bin Affan selama tinggal di Habsyah. Ketika itu Ruqayyah dan Ustman masih menetap di Habsyah dan Rasulullah amat rindu kepada mereka. Saudah sedar Rasulullah amat senang mendengar berita tentang puterinya yang tersayang membuatkan Saudah rajin bercerita tentangnya.

Hijrah Kedua

Kekejaman musyrikin di Madinah memaksa orang-orang Islam berhijrah ke Madinah dengan izin Allah SWT. Setelah sebahagian besar sahabat berhijrah ke Madinah, Rasulullah menyusul hijrah mereka. Kemudian baginda mengutuskan Zaid bersama pelayannya, Abu Rafi’ untuk menjemput wanita-wanita kesayangan Nabi ikut berhijrah. Bersama dua ekor unta dan wang 500 dirham, mereka menjemput Fatimah, Ummu Kulthum, Saudah binti Zam’ah, Ummu Aiman dan Usamah bin Zaid. (At-Tabaqaat, Ibnu Saad, vol.1, hlm. 237-238).
Saudah menetap di Madinah bersama Nabi SAW. Beliau reda apabila tak lama kemudian Rasulullah membina rumah tangga dengan Aisyah r.ha.  Beliau tahu ianya kehendak Allah untuk kebaikan umat Islam sejagat. Aisyah menyukai Saudah sehingga terdapat banyak kisah menarik antara mereka berdua.

Mengutamakan Aisyah Demi Merebut Simpati Nabi

Saudah sedar, psikologi Aisyah yang masih muda sudah tentu lebih memerlukan cinta dan kasih suami. Saudah juga tahu Aisyah adalah isteri yang paling dicintai Nabi setelah Khadijah. Demi menyenangkan hati Nabi, beliau dengan setulus hati sanggup menghadiahkan hari gilirannya kepada Aisyah. Lagipun beliau sudah semakin tua dan uzur.
Rasulullah SAW pernah berniat menceraikan Saudah kerana berlaku adil amatlah payah. Perlukan kerja keras. Namun Saudah takut tidak terpilih menjadi isteri Nabi di akhirat maka beliaupun merayu,
“Biarkan dinda terus  menjadi isterimu. Demi Allah! Dinda tidak akan menuntut sebagaimana isteri-isterimu yang lain. Namun dinda ingin dibangkitkan Allah menjadi isterimu kelak di hari kiamat.”
Saudah menawarkan lagi bagi menyenangkan hati Rasulullah,
“Wahai Rasulullah, dinda hendak memberikan hari giliran dinda kepada Aisyah.”
Rasulullah lantas menerimanya.
Aisyah menyanjungi Saudah. Beliau berkata,
“Aku tidak pernah menemui seorang wanita yang lebih kusukai jika diriku menjadi sepertinya selain Saudah binti Zam’ah. Seorang wanita yang kekuatan jiwanya luar biasa.”
Malah, Aisyah begitu cemburu dengan kesegeraan Saudah dalam melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Allah. Malah Saudah sentiasa berusaha menunjukkan ketaatannya kepada Allah dan Rasulullah. Selain itu, Saudah sangat dermawan dan murah hati.

Kenangan Terindah

Pertanyaan Saudah kepada Rasulullah SAW pada suatu hari pernah mendapat jawapan daripada tujuh petala langit. Ia berkenaan tentang isteri Rasulullah ingin keluar rumah selama ada keperluan. Hal ini meninggalkan kenangan terindah buatnya. Masakan tidak, Allah menurunkan wahyu untuk merungkaikan masalah yang sama hingga hari kiamat.
Aisyah r.a menuturkan, “Saudah binti Zam’ah pernah keluar rumah pada malam hari. Umar melihatnya dan segera mengenalnya, maka ia berkata, “Demi Allah! Kau pasti Saudah. Kami sudah mengenalmu.” Saudah merasa tidak sedap hati sehingga dia segera menemui Rasulullah SAW  yang saat itu sedang makan malam di rumahku dan tangannya sedang memegang tulang yang nyaris habis dagingnya. Tidak lama kemudian, Allah menurunkan wahyu yang membenarkan tindakan Saudah. Rasulullah SAW berkata, “Allah telah mengizinkan kalian keluar rumah selama ada keperluan.” (Muttafaqun Alaih).
Alhamdulillah, dengan keringanan ini, maka kita semua para wanita dapat keluar rumah dengan adanya keperluan seperti berkerjaya, menuntut ilmu, membeli keperluan rumah dan sebagainya.
Di akhir masa pemerintahan Umar RA, bonda kita Saudah menutup mata untuk selamanya.