Islamic Widget

sYuKrAn..^_^

Thursday, January 27, 2011

9 Panduan Hindari Zina.



Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda;
"Sesungguhnya Allah telah menentukan bahagian zina pada keturunan Adam (manusia), ketentuan ini tidak dapat ditolak. Zina kedua mata adalah pandangan, zina lisan adalah perkataan, sementara nafsu yang berangan-angan dan menginginkan, lalu kemaluan yang membenarkan dan mendustakannya." [Riwayat Muslim]
Desakan jiwa yang meronta lantaran suasana sekeliling, hambatan hati yang mendengus lantaran keadaan persekitaran yang terbuka, semangat ingin mencuba lantaran ajakan atau perlian kawan yang mendesak, keghairahan nafsu serta bisikan syaitan yang berterusan, semuanya itu merupakan faktor atau punca beraninya manusia melakukan larangan serta tegahan Allah, termasuk melakukan dosa besar; zina.

Untuk mengelakkan berlakunya zina, panduan berikut perlu diusahakan.;

Panduan 1:
Menuntut Ilmu.

Tuntutlah ilmu supaya datangnya kesedaran tentang haramnya zina serta bencananya. Mengetahui hukum adalah langkah yang paling asas untuk mengukuhkan iman. Hadirilah majlis ilmu kerana belajar dengan berguru akan menjadikan kita terpimpin.


Panduan 2:
Amalkan Ilmu.

Ilmu agama semata-mata tidak memadai untuk menguatkan iman dan mendatangkan kekuatan bagi menjauhi zina, andainya ilmu itu tidak diamalkan sungguh-sungguh. Selain Ilmu syariat, seseorang itu perlu mendalami ilmu tauhid dan akhlak, agar rasa sentiasa diawasi oleh Allah, bukan setakat mengetahui Allah itu Maha Melihat.

Mudah-mudahan dengan rasa sentiasa diawasi, seseorang itu akan malu untuk menghampiri zina, apatah lagi untuk berzina. Jika dilihat orang pun dia akan malu, apatah lagi jika Allah SWT yang melihat. Rasa malu kepada Allah ini adalah akhlak hamba kepada Tuhannya. Ia merupakan benteng daripada terjebak kepada kemaksiatan.


Panduan 3:
Dekati Orang Berilmu.

Selain menghadiri majlis ilmu secara rasmi, seseorang itu perlu mendekati orang berilmu dalam suasana tidak rasmi bagi mendapatkan pandangan, nasihat dan teguran.


Panduan 4:
Berusaha Menjauhi Dosa.

Hindari dosa2 kecil yang membawa kepada terbiasanya melakukan dosa-dosa besar. Tinggalkan perkara yang makruh yang Allah tidak suka, serta jauhi sama sekali perkara haram yang Allah murkai.


Panduan 5:
Menolak Segala Jalan Yang Membawa kepada Menghampiri Zina.

Dengan kata lain, menutup semua 'pintu' yang boleh mengarah kepada zina. Dalam istilah fikah, ia disebut sadduz zara'ik. Antaranya;

* Menjauhi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, terutama mengelakkan dari berdua-duaan.
* Mengelakkan dari mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat serta tidak sempurna menutup aurat.
* Mengawal mata dari melihat perkara-perkara yang tidak halal yang boleh menaikkan nafsu seperti menonton pornografi atau melihat gambar lucah.

Rasulullah SAW menegaskan;
"Pandangan itu merupakan seutas panah beracun daripada panahan iblis. Barangsiapa yang menjaga atau mengawalnya, nescaya Allah akan mengurniakan jiwanya dalam kemanisan ibadat yang akan dirasainya sehingga hari kiamat." [HR: Imam Ahmad dan At-Tabrani]
Kata Pujangga Islam;
"Sesiapa yang menjaga pandangannya nescaya Allah akan menjaga jiwanya."
*Hindari tempat-tempat yang menimbulkan fitnah seperti tempat yang menggalakkan pergaulan bebas dan aktiviti maksiat.


Panduan 6:

Mengamalkan Zikir.

Zikir yang diamalkan secara berterusan dan tersusun mampu mensucikan hati. Hati yang bersih akan kuat menolak ransangan nafsu untuk berbuat dosa.


Panduan 7:
Bergaul Dengan Orang Yang Baik-Baik.

Pergaulan dengan orang yang baik akhlaknya, baik amalnya dan baik ilmunya dapat membantu seseorang untuk menghindarkan maksiat, kerana yang baik akan memimpin dan mengajak kita ke arah kebaikan. Mestilah kuatkan azam untuk mencari sahabat-sahibah yang dapat membantu memberi petunjuk ke jalan kebenaran dan berusahalah mewujudkan suasana pergaulan yang baik.


Panduan 8:
Sibukkan Diri Dengan Ibadah Dan Kerja Kebaikan.

Jika selama ini seseorang itu ketagih melihat filem porno di internet, dia mestilah melawan ketagihan itu dengan penuh keazaman dengan banyak mengisi masa beribadah dan melakukan kerja-kerja kebaikan yang lain.


Panduan 9:
Amalkan Sunnah Nabi SAW.

Adab-adab seharian bermula daripada bangun tidur hingga kita tidur kembali yang menjadi amalan Rasulullah SAW; marilah bersama kita sekeluarga amalkan. Yakinlah apabila kita bersungguh-sungguh 'ketagih' mengamalkannya dan menjadi amalan seharian, insyaAllah Allah akan memberi kekuatan untuk kita mampu mengawal diri daripada perlakuan yang tidak baik.

Sesungguhnya setiap amalan Rasulullah SAW bersulamkan doa-doa yang merupakan menjadi pelindung diri daripada pelbagai musibah.

Wallahu 'alam.

*sumber rujukan: ANIS; Dr. Hj. Nik Yusri Musa.

Tuesday, January 25, 2011

Syaitan Mencari makan malam dan penginapan.

Setiap petang syaitan akan berkeliaran mencari tempat penginapan atau bermalam dan mendapatkan makan malam mereka di rumah-rumah manusia. Apabila mereka sampai ke sebuah rumah yang penghuninya tidak menyebut mana Allah ketika masuk ke rumahnya ,syaitan akan bersorak gembira, “ Kita sudah dapat tempat bermalam .”

            Sekiranya penghuni rumah itu tersebut tidak menyebut nama Allah sewaktu menghadapi makanan ,syaitan berkata lagi, “Kita sudah dapat tempat tidur dan makan malam.” Sebaliknya , jika penghuni sesebuah rumah itu sentiasa menyebut nama Allah ketika masuk ke rumah dan sebelum makan , syaitan akan bersedih  hati, sambil berlalu dia akan meratap, “Tidak ada bermalam dan makan malam disini.”

            Sebenarnya , syaitan tidak tahan dan tidak kuat mendengar nama Allah . Mereka tidak dapat mengganggu orang-orang Islam yang sentiasa menyebut nama-Nya ,seperti “Bismillah , a’uzubillah, Allahu Akbar, subhanallah, alhamdulillah, astaghfirullah dan sebagainya .

            Syaitan akan lari dan tidak berani mendekati mereka yang selalu mengucapkan kalimah-kalimah tersebut.

(Sumbangan Saudara Shahrul Sa, FRIM)

Mengintip Berpada-pada

          Sebuah riwayat menceritakan mengenai seorang sahabat datang bertemu Rasulullah (saw) dan mengajak baginda ke suatu tempat .Baginda meminta diri untuk masuk ke dalam kamar bagi bersiap-siap. Sahabat tersebut menunggu agak lama dan berasa tidak sabar. Dia lalu mengintip dicelah lubang yang terdapat didinding dan ternampak Rasulullah sedang melilit serban.

            Rasulullah tersedar ada orang mengintip , lalu baginda berkata “ Kalau aku tahu ada orang mengintip aku, nescaya aku cucuk matanya melalui lubang ini.”

            Persoalan utama hadis ini ialah sikap tidak sabar menunggu yang menyebabkan sahabat mengambil tindakan melulu , dengan mengintai apa yang yang telah dilakukan Rasulullah.

            Ini menunjukkan bahawa sahabat ini tidak sabar dan bersikap gelojoh .Perbuatan itu juga telah mencarikkan sedikit akhlaknya..

            Sebuah kisah yang lain yang diriwayatkan oleh Abu Kilabah , berlaku pada Sayyidina Umar Al-Khatab, Umar telah diberi tahu mengenai seorang muslim bernama Abu Mehjan As-Saqafi, yang meminum arak bersama-sama degan rakannya.

            Mendengar berita itu , Umar mengambil tindakan pergi melihat sendiri perlakuan Abu Mehjan di rumahnya pada waktu malam . Sampai di sana ,Umar menyerbu masuk tanpa meminta izin tuan rumah, Dia tidak nampak apa-apa kecuali seorang lelaki bersama Abu Mehjan . Tindakan Umar menaikkan kemarahan Abu Mehjan.

            Abu Mehjan berkata “ Sesungguhnya tindakan tuan ini tidak boleh tuan lakukan kerana Allah telah mencegah tuan daripada mengintip, sedangkan aku bersalah kerana meminum arak, melanggar arahan Allah dan Rasul, manakala tuan bersalah menceroboh rumah ku tanpa keizinan.

            Mendengar kata-kata itu, Umar menyedari kesilapan dan keluar dari rumah tersebut . Walaupun masuk untuk memastikan seseorang itu melakukan buat maksiat atau tidak ,Ia  masih perlu kepada keizinan .Mengintip itu banyak caranya, terpulang kepada kebijaksanaan individu.

            Berdasarkan kes ini, mengintip untuk mengetahui kesalahan ,kerana hendak melaksanakan hukuman dibolehkan dalam Islam. Tetapi ia mestilah dengan landasan yang betul dan diredhai Allah, kerana dibimbangi fitnah atau kes lain terjadi.

            Jika mengintip sesuatu rahsia untuk mendapatkan bahan bukti, Ia perlu dilakukan secara bijaksana dan berhikmah.

(Sumbangan Saudara Shahrul Sa, FRIM)

Nabi Bersukan Bersama-Sama Isteri

altSukan merupakan antara cara untuk menyihatkan badan. Dengan bersukan, tubuh badan akan bergerak aktif dan cergas, seterusknya menjadikan anggota badan lebih segar dan sihat.
Islam menyeru manusia agar hidup sihat. Ekoran dari itu, Islam meletakkan asas bahawa segala aktiviti manusia pada asalnya adalah harus, melainkan jika wujud nas yang menyatakan pengharamannya. Ini bermakna semua bentuk sukan yang boleh menyihatkan badan adalah harus bahkan digalakkan, selama mana bentuk sukan itu tidak terkandung unsur-unsur yang menyalahi syariat; menyalahi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah secara qati'i, sahih dan sorih.
Justeru itulah, kita akan dapati bahawa Nabi SAW sendiri juga sering bersukan. Bermain pedang, memanah, menunggang kuda menjadi amalan nabi SAW dan para sahabat, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk menyiapkan diri dengan persediaan fizikal dan persenjataan yang dapat menggerunkan musuh-musuh Islam.
Firman Allah yang bermaksud;
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu." (Surah Al-Anfal : 60)
Sirah menunjukkan bahawa Nabi SAW, bukan sekadar bersukan atau beriadhah bersama-sama para sahabat sahaja, bahkan ada masa-masa tertentu, Baginda SAW bersukan dan beriadhah bersama isteri-isteri baginda.
Main kejar-kejar
Antara kisah Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam melakukan riadhah bersama isterinya adalah seperti yang terdapat dalam satu hadis Aisyah yang berkata;
"Nabi SAW berlumba-lumba denganku. Aku mendahului baginda. Ketika aku menjadi gemuk, Baginda berlumba-lumba denganku lagi, lalu Baginda telah mendahuluiku. Lalu baginda SAW berkata, ini sebagai balasan terhadap yang lalu."
Dalam riwayat yang lain pula Nabi (SAW) diceritakan beriadhah dengan isteri ketika Baginda dalam satu permusafiran Baginda bersama para sahabat. Isteri Baginda (SAW) Aisyah RA turut sama dalam permusafiran tersebut.
Dalam perjalanan, Nabi SAW memaklumkan kepada para sahabat agar mereka berjalan dahulu, meninggalkan Baginda dan Aisyah di belakang. Apabila para sahabat sudah berada jauh di hadapan, lalu Baginda berkata kepada Aisyah ajak berlumba-lumba. (Musnad Ahmad : 22989)
Sibuk Bukan Alasan Tidak Menggembirakan Isteri
Melihat kepada hadis ini, pasti kita akan dapat membayangkan betapa lembutnya hati nabi dalam usaha hendak gembirakan isteri-isterinya. Memandangkan Nabi SAW adalah manusia yang selalu sibuk, baginda akan mengambil segala kesempatan yang ada untuk menggembirakan isteri-isterinya. Peluang dan kesempatan yang ada ketika bermusafir itu digunakan sebaik mungkin untuk bermesra dengan isteri melalui riadhah berlumba lari.
Dari hadis ini juga, kita akan dapati, Nabi SAW tidak menjadikan tempat awam sebagai penghalang nabi SAW menyeronokkan isterinya. Bahkan, jika di tempat awam itu adalah ruang yang paling berkesan bagi nabi mahu gembirakan Isterinya, pasti dilakukan oleh Baginda SAW.
Sebagai isteri, kemesraan suami sebegini memberi kesan mendalam dalam hati dan memahat kenangan indah dalam memori. Buktinya, walaupun kejadian tersebut telah berlalu begitu lama, tapi masih berada diingatan Aisyah sehingga ke saat Aisyah meriwayatkan hadis ini.
Mudah-mudahan para suami di zaman ini mencontohi sifat mesra dan romantik Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam ini. Usahlah anggap kedudukan sebagai suami itu sebagai status yang menghalang isteri anda bergembira dan ceria walau ketika anda sibuk sekali pun.

Air Mata Keinsafan

Seusai Solat Maghrib berjemaah, Iman terus mencapai Al-Quran dan Terjemahan hadiah dari seorang temannya. Lafaz kesyukuran diungkap perlahan kerana masih ada insan-insan yang sudi berhimpun untuk mengabdikan diri padaNya. Sue, Rina, dan Yasmin antara insan yang setia berhalaqah di tengah-tengah ruang 'bilik study' itu sambil menunggu kedatangannya untuk memulakan sessi tazkirah.
" Hari ni akak bacakan tafsir surah Al-Syarh ye. "
" Ha...cuba Sue perhatikan ayat 5 dan 6. Kenapa Allah SWT ulang ayat sesungguhnya setiap kesusahan ada kesenangan sebanyak dua kali? "
" Hurm..kenapa ye akak? Sue tak pasti la. "
" Cuba gabungkan dua ayat tadi. Sebenarnya di sebalik ayat itu, nak jelaskan kat kita bahawa setiap kesusahan ada kesenangan dan setiap kesenangan pasti diuji dengan kesusahan. "
" Owh..faham..faham. Maknanya kita tak boleh mengeluh la bila ditimpa kesusahan.. Iye Kak Iman? "
" Ha'ah Min, dan kita juga tak boleh terlalu gembira dengan kesenangan sebab di celah-celah kesenangan, ada kesusahan yang menanti . "
Iman meneruskan penerangan tentang ayat-ayat di dalam surah itu.
***
Selepas sessi tazkirah.
" Kak Iman, malam ni betul ke Madam Suzila nak buat sport check? "
" Ha'ah..insya Allah. Akak dengar-dengar macam tu la. "
" Nasib baik kita tergolong dalam golongan sami'na wa ato'na kan kak? Tak payah susah-susah. "
" Betul tu Sue, tak payah susah payah kita nak sembunyikan barang terlarang. "
Tergelak kecil Iman mendengar istilah yang selalu mereka gunakan untuk golongan yang selalu mengikut peraturan itu.
Sami'na wa ato'na atau dalam Bahasa Melayu bermaksud kami mendengar dan kami mengikut.
" Malam ni tentu ramai la Sister yang macam cacing kepanasan kan. "
" Ada-ada je Rina ni kan. Biar lah diorang dengan cara diorang. Semua dah besar, boleh fikir mana yang baik, mana yang buruk. Eh, dah azan Isya' tu. Jom solat! "
***
Di dalam bilik.
" Aish..pelik semacam je si Fiqa ni. Tak pernah aku tengok dia macam ni. "
Iman bermonolog sendiri tatkala melihat Afiqa, ahli biliknya yang tekun mengaji sewaktu dia masuk ke dalam bilik untuk menyimpan telekung sembahyang.
" Hurm..Husnuzon. Mungkin dia dah dapat hidayah Allah SWT. Alhamdulillah. Patutnya aku bersyukur, bukannya fikir bukan-bukan." Iman menyalahkan dirinya.
" Woi Fiqa.. lama mana lagi ko nak berlakon tu..? Aku tengok dari tadi kau asyik pegang je Al-Quran tu. Bukannya nak baca pun! " Zira di atas katil menegur.
" Eh, kau diam sikit boleh tak. Kalau Kak Iman dengar, habislah aku. Aku tengah sabar la ni. Madam belum datang lagi. Macam mana aku nak berhenti berlakon ? "
" Hahaha..padan muka ko. Tu la, ambil lagi risiko. "
***
5 minit selepas itu.
" Assalamualaikum. Boleh Madam masuk?
" Waalaikumussalam. Eh, Madam..masuk la. "
Lantas Iman, Rina, Yasmin, Sue dan Zira mendapatkan Madam untuk menyalami beliau sebagai tanda hormat.
" Bagus ye bilik ni, bersih je. Boleh Madam nak buat checking? "
" Boleh madam, silakan. "
Rina selaku Mushrifah bertindak mengiringi Madam suzila.
" Awak nama apa? Boleh tanggalkan telekung tak? "
" Er..er...er...kejap ye Madam. "
Muka Fiqa mula berubah. Dia tidak menyangka taktiknya tidak berjaya.
" Sis Afiqa..sini kejap. Boleh Madam bincang dengan kamu? "
Yasmin dan Sue tersengih-sengih melihat Fiqa kantoi di tangan Madam.
" Masya Allah. Patutla aku tengok dia khusyuk sangat baca Al-Quran sambil pakai telekung sembahyang. Nak sembunyikan rambut karat dia dari Madam rupanya. " Iman mengeleng kepala.
Hatinya sedih sekali. Dia rasa terpukul dengan pebuatan Afiqa tadi. Seolah-olah menghina kemuliaan Al-Quran dan solat. Sebelum ini, sudah beberapa kali dia cuba menasihati Afiqa atas perbuatannya itu tetapi nasihatnya itu ibarat mencurahkan air ke daun keladi. Hati Afiqa mungkin masih keras untuk menerima nasihat orang ataupun egonya diletakkan ditahap yang paling tinggi.
Iman merasakan dia masih kekurangan cara untuk menjadi seorang Da'ie. Tetapi melihatkan perbuatan Afiqa tadi hatinya tercalar. Bukan kerana kepentingan diri sendiri tapi dia terguris dengan perbuatan Fiqa yang menggunakan kesuciaan Al-Quran dan memakai telekung untuk menutup kesalahannya itu daripada pandangan mata seorang manusia biasa.
Dari jauh, dilihat Fiqa sedang menangis. Mereka tidak mahu mendengar butir bicara antara Fiqa dan Madam Suzila. Kemudian Madam keluar daripada bilik mereka. Iman menggunakan saat itu untuk membimbing teman sebiliknya itu.
" Fiqa, boleh akak duduk sini? " Iman cuba menyapa lembut.
Fiqa hanya mampu mengangguk sambil menyapu kesan air mata yang membasahi pipinya itu.
" Boleh akak tau kenapa Fiqa warnakan rambut? Sebenarnyakan, sejujurnya akak cakap, akak nampak Fiqa lagi cantik dalam keadaan natural. "
" Fiqa terpengaruh kak. Kawan-kawan Fiqa kat luar semua macam ni. Keluarga Fiqa sendiri pun macam ni jugak. Macam mana Fiqa nak jadi baik. "
Afiqa menjawab perlahan tetapi Iman dapat merasakan nada penyesalan yang lahir dari sekeping hati yang suci milik Nurul Afiqa itu.
" Ok..akak faham keadaan Fiqa. Sebenarnyakan Fiqa, Fiqa kena bersyukur datang sini tau. Kalau Fiqa tak ditegur hari ni mungkin Fiqa masih lagi khayal dengan dunia luar yang penuh pancaroba tu. "
" Terima kasih kak. Tak tahu kenapa sekarang Fiqa rasa tenang sangat. Fiqa tau, Fiqa dah buat salah dan memang Fiqa menyesal sangat-sangat dengan perbuatan-perbuatan Fiqa dulu. Minta maaf ye Kak Iman sebab Fiqa tak pernah dengar teguran akak dan Kak Rina selama ni. "
" Takpe. Setiap yang Allah SWT tetapkan ke atas kita pasti ada hikmah. Yang penting, setiap penyesalan kita mesti diikuti dengan perbuatan kita yang baik, berazam dan berubah. Itu yang paling utama. "
" Insya Allah Kak Iman. Akak, tolong Fiqa ye. " Afiqa mula melakarkan senyuman.
" Boleh..boleh.. Insyaallah. Akak akan tolong sedaya mampu. Lagi satu, Fiqa kena ingat. Selagi kita tak lupakan Allah SWT insyaallah, Dia takkan lupakan kita. Semakin kita ditimpa ujian yang kadang-kadang membuatkan kita terduduk kaku,hati merintih hiba, itu tandanya kasih sayang Dia semakin kuat untuk kita. Lagipun Allah SWT telah berfirman bahawa Dia tidak akan membebani hambaNya melainkan apa yang termampu dipikul oleh hambaNya itu. "
" Terima kasih sangat-sangat Kak Iman sebab masih tolong Fiqa walaupun Fiqa dah buat macam-macam dalam bilik ni. "
Lantas dipeluknya Iman dengan erat. Setulus ikatan seorang muslim terhadap saudaranya.
***
5.45 am. Iman masih lagi berteleku disamping Al-Quran kesayanganya itu. Dia menunggu kedatangan ahli biliknya yang lain untuk mengimarahkan lagi suasana bilik mereka.
Derap langkah di belakangnya itu semakin hampir. Yasmin barangkali. Fikir Iman di dalam hatinya.
Dia duduk menyebelahi Iman selepas sejadah dihampar halus.
" Akak, nak solat sekali boleh? " Sapa Fiqa.
Terkejut Iman melihat kehadiran Fiqa disisinya.
" Eh..apa pulak tak bolehnya. Kita tunggu yang lain-lain sekejap ye. "
Afiqa mengangguk sambil tersenyum. Hati Iman berbunga ceria.
" Ya Allah, mudahnya Kau bukakan hatinya. Sesungguhnya Engkau Maha Penyayang terhadap hamba-hambaMu ini. Tetapkan hati-hati kami di atas jalan yang lurus ini. Janganlah Kau pesongkan hati-hati suci ini sesudah hidayahMu mengunjungi. Amin. "
Hati kecil Iman tersenyum lagi.

Artikel iluvislam.com

Untukmu dan Untukku

Apakah hatimu seperti batu?
Tidak sayu saudaramu dipalu,
Tidak pilu hilang peganganmu,
Tidak malu persendakan agamamu,
Biarkan nafsu menjaga dirimu.
alt
Apakah kamu sudah lupa?
Pergerakanmu diperhatikan oleh Maha Esa,
'Illiyin dan Sijjin saksi rahsia di dada,
Terbongkar semua di hari Bencana,
Saat matahari seakan sejengkal dari kepala.
Rasulullah kekasihNya jadikan teladan,
Akhlaknya seperti al-Quran berjalan,
Kehadirannya membawa angin ketenangan,
Sentiasa berjalan memberi pesanan,
Ikutlah arahanNya laranganNya tingalkan.
Melihat mendengar nikmatNya padamu,
Langit dan bumi disediakan untukmu,
Gunakan akal dan mata hatimu,
Syukurlah dan sujud pada Tuhanmu,
Tunaikan perintahnya sehingga diseru.
Syurga dan neraka sudah dikhabarkan,
Sebagai hadiah juga amaran,
Setiap kamu bergelar insan,
Tiada terlepas dari perhitungan,
Kembalilah kepada sunnah Rasul dan al-Quran.
Marilah wahai saudara-saudaraku,
Bangunlah dari tempat beradu,
Bertaubatlah dari kesalahan lalu,
Janganlah lupa janganlah ragu,
Aku dan kamu milik Yang Satu.

Mengapa Suka Cakap Belakang?

110122-gossip.Saya menerima sebuah e-mel daripada seorang sahabat. Sharifuddin menceritakan keadaan warga syarikatnya yang tidak sampai 10 orang itu hendak berhenti kerja secara beramai-ramai.
Puncanya kerana dia hanya memberi bonus sebulan gaji kepada kakitangannya.
Saya hairan kerana setahu saya, syarikat pembekal alatulisnya itu tidak pernah memberi bonus sejak mula beroperasi.
Mengapa pula mereka hendak berhenti kerja bila taukenya hendak memberi bonus?
"Aku pernah bersembang dengan seorang staf, niat aku hendak beri bonus kepada semua kakitangan aku. Dia boleh bawak cerita kepada staf yang lain yang aku nak beri bonus tiga bulan gaji. Bila aku beri sebulan gaji, masing-masing merajuk dan nak berhenti kerja. Mereka tuduh aku berbohong! Nasib baik aku panggil staf aku yang jadi penyebar cerita palsu itu menceritakan kepada semua staf dalam sebuah mesyuarat. Kalau tidak, aku boleh tutup kedai."
Alhamdulilah kerana Sharifuddin dapat menangani masalah di syarikatnya yang kecil itu. Fitnah yang besar di dalam sebuah syarikat yang kecil itu dapat dihidu dan disusur puncanya lalu diselesaikan.
Bagaimana pula kita yang bekerja di syarikat yang besar, kawasan perumahan yang besar atau kampung yang besar?
Yang pasti, saban hari berita benar dan palsu datang kepada kita bersilih ganti hingga kita tidak dapat mengenal yang mana satu yang benar dan yang mana salah.
Yang bahayanya, berita itu tiba dalam bentuk pertuturan, bisikan dari telinga ke telinga sehingga kita tidak tahu dari manakah sumbernya. Malangnya, kita mudah mempercayainya.
Mengapa? Di antara punca utamanya ialah sikap kita yang mudah menerima apa yang disampaikan secara cakap belakang-belakang.
Kita mudah menerima cerita yang disampaikan secara tidak rasmi ini kerana di dalam mana-mana kelompok manusia, akan terdapat seorang penyampai berita yang handal dalam mensensasikan apa jua khabar.
Lazimnya, si penyampai berita ini mempunyai cara pertuturan yang amat menyakinkan. Sesuatu berita disampaikan dengan intonasi suara yang memukau, mimik muka yang mempengaruhi si pendengar dan gerak geri yang dramatik.
Sudah tentunya penyampaian yang sebegini akan membuat kita terpesona dan terlupa rasional serta logika. Sehingga akhirnya kebenaran itu dikaburkan dengan kebatilan.
Kerana itu, di dalam sesebuah organisasi, seseorang yang bertukar jabatan kerana kenaikan pangkat boleh digosipkan sebagai seseorang yang diturunkan pangkat.
Orang yang mengundur diri daripada sesuatu jawatan kerana kurang sihat dikatakan sebagai dibuang dan orang yang mengubah pendirian kerana menghormati keputusan mesyuarat boleh dianggap orang berperangai lalang.
Si penyampai berita inilah yang menggodam apa yang benar kepada yang palsu. Malangnya, yang palsu inilah yang dipercayai.
Mengapa pula yang palsu ini dipercayai hingga ia menjelma menjadi benar? Ia terjadi kerana kita juga. Ramai di kalangan kita terdiri daripada mereka yang lebih suka mengangguk untuk mengiyakan.
Kita malas untuk berfikir sama ada apa yang disampaikan itu betul atau salah.
Lagipun, kita segan untuk mempersoalkan apa yang disampaikan kerana hendak menjaga hati si penyampai berita.
Akibat kasihan kepada si penyampai kerana tidak mahu dia malu alah jika kita bertindak dengan menyoal sumber berita yang disampaikan, akibatnya, kita memperoleh maklumat yang salah.
Oleh kerana kita perlukan maklumat untuk membuat keputusan, maklumat yang salah akan menghasilkan keputusan yang salah.
Sepatutnya, apabila kita memperoleh sesuatu khabar, perkara pertama yang harus kita lakukan ialah bertanyakan sumber berita yang diperoleh si penyampai.
Dengan maklumat itu, kita harus terus merujuk kepada sumber itu untuk memperoleh kepastian. Tindakan ini akan mematikan fitnah di sumber asalnya. Dan, yang lebih penting, kita akan disegani kerana berani memberhentikan cakap belakang daripada berleluasa.
Dalam pada kita berani menghentikan cakap-cakap belakang, jangan pula kita terjerumus pula menjadi salah seorang daripadanya.
Ini boleh terjadi jika pada mana-mana ketika, kita malu untuk mengaku yang kita tidak tahu mengenai sesuatu perkara apabila ditanya mengenainya.
Oleh kerana hendak menyedapkan hati si penanya, maka kita pun mencipta cerita yang kita rasa logik.
Tanpa kita sedari, tindakan itu akan menjadikan kita si penyebar fitnah. Sedar-sedar, rupa-rupanya, kita pun apa kurangnya?

Tips Panjang Umur

Ini adalah salah satu tips panjang umur bagi umat islam. Ia adalah tips yang melibatkan konsep 'give and take' dimana anda perlu memberi atau membayar dahulu dan akan memperoleh keuntungannya kemudian.
Ia bukan skim cepat kaya atau ajaran sesat. Ia adalah aturan Allah untuk amalan mulia hambanya.
Setiap hari selepas solat, kita biasanya akan berdoa. Selalunya kita akan berdoa untuk diri dan keluarga. Antara doa yang popular ialah doa kesejahteraan dunia akhirat dan dijauhkan sanak-saudara dari azab kubur.
alt
Ada doa yang mendoakan muslimin dan muslimat dijauhkan dari azab kubur. Sebenarnya inilah doa yang perlu anda laburkan untuk mendapat kembali pulangan pelaburan daripada ahli kubur selepas tempoh tertentu.
Kita tahu bahawa doa yang cepat sampai ialah doa dari anak kepada orang tua dan doa daripada darah daging sendiri.
Doa daripada orang luar kepada kita agak lambat sampai ke dalam 'registry'. Ini bukannya masalah 'software' atau 'server' di langit yang lembab, tetapi ini adalah 'system' yang telah ditetapkan oleh Allah.
Pertalian darah itu memberikan kelebihan kepada ketangkasan proses doa untuk sampai ke langit.
Demikianlah 'system' Allah supaya kita mendidik anak-anak dan ahli keluarga menjadi orang yang beriman kerana apabila mereka memahami agama, dan sentiasa mendoakan kita, maka itulah ubat kepada kita di alam barzakh nanti.
Maka amat rugi bagi mereka yang lalai mendekatkan keluarga dengan agama.
Ketika manusia disiksa di alam kubur, maka malaikat tiba-tiba berhenti daripada menjalankan tugasnya.
Maka terpinga-pinga dan terkulat-kulat muslimin dan muslimat yang sedang menjalani siksa kubur dan tertanya-tanya, "Wahai Malaikat, mengapa terberhenti siksaan tersebut?"
Lalu malaikat menjawab, "satu mesej baru sahaja tiba, bulan lepas si Abu ada mendoakan supaya siksaan kubur orang kampungnya dikurangkan. Jadi, tuhan sudah 'approve' dan kami beri kamu rehat 3 hari dari siksaan kubur. Selamat berehat".
 Demikianlah ilustrasi yang agaknya berlaku di alam kubur tetapi konsepnya adalah sebegitu.
Maka disini, muslimin dan muslimat yang disiksa itu terus memanjatkan doa supaya si Abu tadi dipanjangkan umur kalau boleh sehingga hari kiamat kerana doa-doanya akan meringankan siksa kubur muslimin dan muslimat yang beruntung memperoleh dari kerajinan ibadat dan doanya.
Demikianlah kita kalau rajin mendoakan ayah ibu dan sanak saudara yang telah pergi agar dijauhkan dari siksa kubur.
Ketahuilah mereka akan sentiasa mendoakan, semoga kita dipanjangkan umur agar kita terus menyumbang doa lagi kepada mereka dimasa mendatang.
Kemudian didoakan semoga murah rezeki supaya kita ada lebih masa untuk beribadat dan berdoa untuk mereka. Ketahuilah azab kubur itu amat berat.
Mereka akan sentiasa mahukan tiket pelepasan dari azab ini.Beruntung ibu dan ayah kepada anak yang soleh dan solehah. Beruntunglah mereka yang mendidik kelaurga dan keturunan ke jaln Allah..
 Inilah tips bagaimana kita inginkan orang mendoakan kita supaya panjang umur dan murah rezeki.
Bayangkan kalau setiap hari kita mendoakan seluruh muslimin dan muslimat semoga diringankan azab kubur. Sekiranya doa kita sampai, berjuta dan berbilion daripada mereka mendoakan kita.
Ini bukanlah kisah atau cereka. Ia juga bukan cerita atau jenaka. Ia adalah perkara di dalam kitab yang mana dihuraikan untuk kefahaman yang mudah.
Maka janganlah membuang masa dan jadikanlah ia amalan. Insyallah mendapat berkat dengan meyakini agama yang satu ini. Wallahua'lam.

Hilang Arah Tuju

Seringkali dalam hidup ini kita mendapati diri sendiri hilang arah.
Benar bukan? Saya tak merasakan sekadar saya yang mengalaminya namun perkara ini berlaku kepada hampir setiap manusia.
Kita hanyalah insan, kita pelupa.
Kadang kala kita dapat kembali membetulkan jalan kita dengan segera, namun sesetengah orang tak.
Mereka mengambil masa yang lama untuk menyimpangkan kembali lorong ke arah jalan utama, jalan yang sebenar.
Dan dalam golongan inilah juga, terdapatnya satu puak yang bisa kembali, dan sepuak lagi, hanyut di lautan yang tak bertepi.
Saya 'Gay' saya Okey!
Kita ambil kisah Azwan Ismail dan mereka yang segolongan dengannya.
Apakah yang telah terjadi? Saya sendiri cuba menyelami cara fikirnya, cara pandangnya.
Antara kata-katanya ialah:
"Memang agak sukar untuk menjadi seorang gay di Malaysia tetapi, terutamanya kita seorang yang Melayu, kerana faktor budaya dan agama banyak mencorakkan kehidupan kita, dan memberitahu kita apa yang kita boleh jadi dan apa yang kita tidak boleh jadi.."
Dan apa yang saya dapati ialah, terjadinya cara fikir sedemikian ialah kerana:
Kehilangan MATLAMAT dalam kehidupan mereka.
MATLAMAT- TEMPAT PERGANTUNGAN
Kita ketepikan dahulu kisah gay ini dan jadikannya sebagai suatu contoh dalam minda kita.
Percayakah anda bila saya katakan bahawasanya matlamat itu menjadi tempat pergantungan manusia?
Apabila bercakap tentang tempat pergantungan, ia sebenarnya dimaksudkan dengan sumber kekuatan.
Tempat manusia bergantung harap, meluahkan perasaan, memujanya, dan memikirkan tentangnya.
Tidakkah anda nampak persamaan yang dikongsi kedua-dua ini?
Apabila manusia meletakkan matlamatnya ke arah sesuatu, ia menjadi tempat pergantungannya, yang memberikannya suatu kekuatan untuk terus berlari, berjalan, mahupun merangkak untuk mencapai matlamat tersebut.
Inilah yang saya maksudkan dengan matlamat atau halatuju atau arah.
TIGA PERSOALAN YANG MEMENINGKAN.
Semenjak zaman dahulu sehinggalah sekarang, akal manusia sentiasa dipeningkan dengan tiga soalan yang tidak dapat dijawab dengan upaya minda manusia sahaja:
من اين جئنا؟
لماذا جئنا؟
الى اين المصير؟
1. Dari manakah kita ini datang?
Siapa yang mencipta kita? Bagaimana kita dicipta?
2. Mengapa kita datang ke sini (dunia/bumi)?
Apa tujuan kita? Apa yang kita perlu buat sebenarnya?
3. Ke mana tempat kita pergi sesudah ini?
Lepas dunia ini habis bagaimana? Apa yang terjadi? Alam ini akan tiada lama kelamaan? Hanya tinggal senyap sahaja? Tiada apa-apa?
Lalu Islam mendatangkan jawapan bagi ketiga-tiga jawapan yang memeningkan ini.

JAWAPAN-JAWAPAN
1. Dari mana kita datang?
''Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia(Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.''
(Al Hijr : 26)
Dengan makna bahawa manusia mempunyai pencipta. Yang menciptakan asal manusia itu dari tanah!
2. Mengapa kita datang ke sini (dunia/bumi)?
''Dan tidaklah Kami ciptakan Iangit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.''
(Al Anbiya : 16)
''Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu karena mereka akan masuk neraka.''
(Shaad : 27)
Jadi kalau begitu mesti ada tujuannya. Apakah tujuannya?
''Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.''
(Ad Dzariyaat : 56-57)
3. Kalau begitu ke mana tempat kita pergi sesudah ini?
''Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?.''
(Al Mu'minun : 115)
Sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Al Alaq : 8)
Berbalik kepada cerita kita sebentar tadi. Apa kaitannya dengan hilang arah?
Ya, ada kaitan yang sangat besar.
Kita lihat saintis-saintis hebat dari barat, yang mengkaji fenomena alam yang mengkagumkan dan amat sukar difahami, setelah mengkaji dan mengkaji, mereka hilang arah.
Selepas ini apa? Selepas ini apa?
Kita lihat mereka yang larut dengan hiburan di dalam kehidupan mereka, clubbing, arak, dadah, amalan seks bebas-berzina.
Lalu selepas itu apa? Apa lagi yang kamu hendak buat?
Artis-artis yang hidup dalam keadaan glamour. Publisiti. Hiburan dan sebagainya.
Tanyakan kepada mereka selepas ini apa?
Soalan-soalan ini sekiranya direnungi akan mencengangkan hati mereka, lalu mereka akan bingung kerana; mereka tak punya jawapan.
-Selepas ini berhibur lagi. Dan lagi. Dan lagi.
-Kemudian umur semakin meningkat, dan semakin meningkat. Lalu?
-Lalu apa?
-Lalu mati? Jadi apakah makna kehidupan kamu?.
 KOSONG!
Kerana itu ramai yang hilang arah. Kerana apa? Bukan kerana mereka tak punya matlamat, ianya kerana, matlamat mereka tak abadi.
Andai hidup bermatlamat hiburan,
maka hiburan akan pergi,
Andai hidup bermatlamat glamour,
ketahuilah glamour jua akan pergi,
Sekiranya hidup bermatlamat rupa paras dan kecantikan,
maka umur akan memakan keduanya jua,
Lalu apa lagi yang mahu dijawab?
Tiadalah melainkan; Allahlah matlamat yang abadi.
HIDUP IBADAH KEPADA ALLAH: HIDUP YANG BEBAS DARI PERHAMBAAN.
Apabila hidup kita kembali bermatlamatkan Allah, tempat kembali, maka hidup kita bebas.
Bebas dari apa?
Bebas dari perhambaan nafsu yang sentiasa memberitahu kita,
''Aku mahu ini, aku mahu itu.''
Bebas dari diperhambakan wang dan harta
Bebas dari diperhambakan syahwat terhadap lelaki/wanita
Bebas dari jiwa diperhambakan pangkat, jawatan dan pujian orang
Bebas dari diperhambakan manusia lain.
''SAYA GAY SAYA OKEY!''
Cubalah kaitkan dengan isu yang saya lontarkan di atas. Inshaallah anda mendapati jawapannya.
Saya nyatakan kembali perkataan saya di atas:
"..Dan apa yang saya dapati ialah, terjadinya cara fikir sedemikian ialah kerana: kehilangan MATLAMAT dalam kehidupan mereka.."
Tanyakanlah kembali kepada diri kita, siapa atau di manakah kita letakkan matlamat kita.
Saya tak fikir seseorang yang cuba mengubah situasi gay di Malaysia agar diterima masyarakat bermatlamatkan ''halatuju abadi''.
Di akhirnya saya fikir mereka akan mendapati suatu keresahan di dalam kehidupan. Tiadanya ketenangan, ibarat dicekik tali yang halimunan. Rasa bersalah dan sebagainya.
Kehidupan yang tak diredhai, malahan dilaknat-Naudzubillah.
PENUTUP
Lupakan isu gay, berbalik kepada diri kita pula. Sekiranya kehiidupan kita bermatlamatkan Allah, maka muhasabah kembali:
''Benarkah hari-hari yang kita lalui bermatlamatkan Allah?''
Maksud saya, bibir boleh mengucapkan kata-kata, namun sayang sekali, sebenarnya matlamat kita itu dibuktikan dengan perbuatan kita sendiri.
Hidup bermatlamatkan Allah sepenuhnya, dibuktikan dengan perbuatan, tatacara, perkataan kita.
Kita mungkin tak sempurna, namun bagi saya, kehidupan bermatlamatkan Allah itu, ialah kita berusaha mengubah diri kita, suasana kita, ke arah yang Dia redhai.
Moga Allah ampuni kita bersama.

Syaitan itu Kreatif !

Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?
"Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia," jelasnya. Saya tersenyum. Ada kebenarannya.
alt
Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan.
Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran...tidak se'dinamik' dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.
Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!
KISAH TIDAK LAMA DULU
Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.
"Mengapa tiba-tiba?" tanya saya.
"Hidayah bang..." jawabnya si dia pendek.
"Bagaimana dengan segalanya?" Risau saya dengan profesyennya.
"Allah ada. Allah akan membantu segalanya."
"Syukur," kata saya perlahan.
Setahun kemudian.
"Lihat ini.." kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.
"Betul ke ni?"
"Apa kau ingat ini 'super-impose'?"
Saya terdiam. Kaku.
"Mana pergi tudungnya?"
"Itu.." tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.
"Itu tudung?"
"Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat."
"Bertutup tapi terbuka, tahupun..." katanya seakan menyindir.
Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru.Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.
"Bang saya insaf bang..."
Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa... dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan.  
Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam 'ditarik' kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan... Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali.
Kata sesetengah yang setuju, biarlah... itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati... Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa.
Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!
Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:
"Syaitan terlalu kreatif..." Kreatif? Bisik hati saya.
"Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam... Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah 'grey' – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran."
Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja 'was-was' baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.
Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan.Atau peragawati bertudung dengan langkah 'catwalk' dengan dada, 'make-up' galak sambil yang mengundang pesona dan 'aura' dosa. Dan lebih 'daring' lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung... Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah 'grey'? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.
Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:
"Tudung wanita itu ada empat... tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati."
Apa ertinya?
"Tudung pada wajah... jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata... jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara... jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati... mengingati Allah... dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar..."
"Jangan terlalu ekstrem," tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang 'penghormatannya' (baca betul-betul... bukan 'kehormatan'). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum."
"Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya... tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah," balas saya perlahan.
"Aku tak faham. Maksud kau?"
"Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan."
"Lantas?"
"Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan... tentu ada yang salah dalam penutupannya."
"Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik."
"Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran..."
"Jadi kebenaran menolak keindahan?"
"Keindahan itu satu kebenaran!" balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai 'aksesori' ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai 'fesyen' orang 'baik-baik' dan orang 'cantik-cantik' berbanding syariat wanita yang beriman!
"Hormati, itukan era transisi" kata seorang sahabat seakan memujuk saya.
"Transisi? Apa maksud mu?"
"Sebelum lengkap bertudung... err... maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung."
"Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja... ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?"
Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.
"Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan.Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita..."
"Kau kata mereka tidak ada ilmu?'"
"Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri," kata saya.
"Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?."
"Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata."
"Maksud kau?"
"Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang."
Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara.
Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua.
Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam... menjadi 'malaikat' yang diam? Oh, tidak...
Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit !

Tiada Perbezaan Anak Lelaki Atau Perempuan


بسم الله الرحمن الرحيم
وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَآلِهِِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Nabi Muhammad SAW ketika digembirakan dengan kelahiran Fatimah r.anha, baginda melihat tanda-tanda kehampaan pada wajah sahabat-sahabat baginda lalu baginda bersabda yang bermaksud: " Kenapa kamu kulihat begini? Aku mencium bau syurga dan rezeki Fatimah berada di atas ALLAH."

Begitu juga Nabi SAW menangis ketika kewafatan anaknya Ibrahim lalu ditanya para sahabat, " Adakah engkau pun menangis wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah SAW: " Inilah adalah sifat Rahmat (kasih sayang) yang dijadikan oleh ALLAH dalam hati manusia.

Sesungguhnya anak-anak yang kecil perlu kepada kasih sayang dan ciuman. Dan sifat-sifat ini melahirkan satu tindak balas dalam jiwanya kerana Nabi SAW ada bersabda diriwayatkan oleh Ibn Asaakir dan Al-sayuthi yang bermaksud: " Sesiapa yang mempunyai anak hendaklah dia berlemah lembut dengannya."

Dan antara bukti islam menitikberatkan hal anak-anak tanpa membezakan antara lelaki dan perempuan ialah di dalam Surah Al-Syura ayat 49: Maksudnya, " Dia yang menganugerahkan anak perempuan dan anak lelaki itu kepada sesiapa yang Dia kehendaki."

Selain itu ALLAH juga memberitahu Maryam r.ha dengan firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 45: Maksudnya, " Sesungguhnya ALLAH menggembirakan dengan perkataan-Nya (anugerah-Nya) yang dinamakan Isa bin Maryam."

Bukti yang serupa dapat dilihat dalam ayat yang lain. ALLAH menyebut ciri-ciri hamba-Nya yang soleh iaitu mereka yang cintakan anak-anak mereka dan mereka berdoa kepada ALLAH supaya dikurniakan anak-anak yang soleh yang menjadi punca ketenangan dan kegembiraan mereka di dunia dan di akhirat.

Begitu juga Rasulullah SAW pun menyuruh umatnya supaya mengahwini perempuan yang mampu melahirkan anak yang ramai. Nabi menggesa umatnya juga supaya memperbanyakkan anak. Baginda menyifatkan anak sebagai penghalang daripada turunnya azab seperti yang tersebut dalam hadisnya diriwayatkan oleh Al-Sayuthi. Maksudnya, " Kalaulah tidak kerana hamba-hamba ALLAH yang rukuk dan anak-anak yang menyusu dan binatang ternakan yang ada nescaya sudah turun azab seksa ke atas kamu."

Dan baginda juga mengibaratkan kewujudan mereka sebagai sebab kemuliaan dan keagungan ibubapa mereka seperti sabda baginda yang diriwayatkan oleh Al-Tabrani. Maksudnya: " Tidak ada anak di dalam sesebuah keluarga melainkan mulialah keluarga itu."

Kita juga mendapati Nabi menyifatkan anak-anak sebagai angin dari syurga sebagai yang tersebut dalam hadisnya diriwayatkan oleh Al-Tabrani. Maksudnya: " Bau kanak-kanak itu adalah daripada bau syurga."

Abu Hurairah juga ada meriwayatkan daripada Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari: Maksud, " Rasulullah SAW mengucup kepala a-Hassan bin Ali (r.a) dan di sisi baginda al-Aqra' bin Habis al-Tamimi sedang duduk lalu Aqra' pun berkata: ' Aku ada 10 orang anak tapi aku tak pernah mencium seorang pun dari mereka.' Maka Nabi pun melihatnya dan bersabda, ' Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi.'"

Suka ana bawa satu kisah: Hidup Hebat

Ketika Abdullah bin Al-Zubair berumur 12 tahun, pernah Sayidina Umar r.a lalu menghampirinya. Kanak-kanak lain yang sedang bermain dengannya bertempiaran lari kecuali Abdullah bin Al-Zubair. Semuanya lari kerana takut dengan ketegasan Sayidina Umar r.a kecuali Abdullah yang hanya memandang kepada Amirul Mukminin itu.

Umar r.a mengucapkan salam padanya kemudian beliau terus duduk disitu dan bermain sehingga Sayidina Umar bertanya, kenapa kau tidak lari seperti kawan-kawanmu? Abdullah menjawab: " Aku bukannya zalim lalu aku takut padamu dan jalan pun tidak sempit supaya aku beralih dan aku pun tidak buat dosa sehingga aku perlu lari." Sayidina Umar r.a gembira dengan keberanian pemuda kecil itu dan mengusap-ngusap kepala anak itu lalu berkata pada sahabat-sahabatnya: " Anak ini akan hidup dengan kehebatan."...

Subhanallah! sahabat-sahabatku semua, mampukah kita mempunyai anak yang hebat seperti ini..? Semoga kita mampu mencorak kehidupan anak-anak kita sesuai dengan kehendak ALLAH dan Rasul. ALLAH yang memberikan anugerah anak dan ALLAH jugalah yang menentukan rezekinya, tugas kita hanya menjalankan amanah tersebut mengikut peraturanNya. Insya'ALLAH, kita sama-sama berusaha dan mendoakan yang terbaik buat anak-anak yang kita kasihi...Wallahua'lam

~ wahai diri: Jadilah dirimu contoh yang terbaik buat anak-anakmu, tanamkan dalam diri mereka dengan amalan dan semangat keagamaan kerana mereka ibarat sebuah alat perakam, setiap hari mereka melihat, merakam dan menyimpannya dalam hati dan mindanya, yang mana akhirnya mereka bawa sifat-sifat itu setelah mereka meningkat dewasa~ يَا اللهُ يَا حَيُّ يَاقَيُّوْمُ, bantulah hambamu ini...ameen ~