Seringkali dalam hidup ini kita mendapati diri sendiri hilang arah.
Benar bukan? Saya tak merasakan sekadar saya yang mengalaminya namun perkara ini berlaku kepada hampir setiap manusia.
Kita hanyalah insan, kita pelupa.
Kadang kala kita dapat kembali membetulkan jalan kita dengan segera, namun sesetengah orang tak.
Mereka mengambil masa yang lama untuk menyimpangkan kembali lorong ke arah jalan utama, jalan yang sebenar.
Dan dalam golongan inilah juga, terdapatnya satu puak yang bisa kembali, dan sepuak lagi, hanyut di lautan yang tak bertepi.
Saya 'Gay' saya Okey!
Kita ambil kisah Azwan Ismail dan mereka yang segolongan dengannya.
Apakah yang telah terjadi? Saya sendiri cuba menyelami cara fikirnya, cara pandangnya.
Antara kata-katanya ialah:
"Memang agak sukar untuk menjadi seorang gay di Malaysia tetapi, terutamanya kita seorang yang Melayu, kerana faktor budaya dan agama banyak mencorakkan kehidupan kita, dan memberitahu kita apa yang kita boleh jadi dan apa yang kita tidak boleh jadi.."
Dan apa yang saya dapati ialah, terjadinya cara fikir sedemikian ialah kerana:
Kehilangan MATLAMAT dalam kehidupan mereka.
MATLAMAT- TEMPAT PERGANTUNGAN
Kita ketepikan dahulu kisah gay ini dan jadikannya sebagai suatu contoh dalam minda kita.
Percayakah anda bila saya katakan bahawasanya matlamat itu menjadi tempat pergantungan manusia?
Apabila bercakap tentang tempat pergantungan, ia sebenarnya dimaksudkan dengan sumber kekuatan.
Tempat manusia bergantung harap, meluahkan perasaan, memujanya, dan memikirkan tentangnya.
Tidakkah anda nampak persamaan yang dikongsi kedua-dua ini?
Apabila manusia meletakkan matlamatnya ke arah sesuatu, ia menjadi tempat pergantungannya, yang memberikannya suatu kekuatan untuk terus berlari, berjalan, mahupun merangkak untuk mencapai matlamat tersebut.
Inilah yang saya maksudkan dengan matlamat atau halatuju atau arah.
TIGA PERSOALAN YANG MEMENINGKAN.
Semenjak zaman dahulu sehinggalah sekarang, akal manusia sentiasa dipeningkan dengan tiga soalan yang tidak dapat dijawab dengan upaya minda manusia sahaja:
من اين جئنا؟
لماذا جئنا؟
الى اين المصير؟
1. Dari manakah kita ini datang?
Siapa yang mencipta kita? Bagaimana kita dicipta?
2. Mengapa kita datang ke sini (dunia/bumi)?
Apa tujuan kita? Apa yang kita perlu buat sebenarnya?
3. Ke mana tempat kita pergi sesudah ini?
Lepas dunia ini habis bagaimana? Apa yang terjadi? Alam ini akan tiada lama kelamaan? Hanya tinggal senyap sahaja? Tiada apa-apa?
Lalu Islam mendatangkan jawapan bagi ketiga-tiga jawapan yang memeningkan ini.
JAWAPAN-JAWAPAN
1. Dari mana kita datang?
''Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia(Adam) dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk.''
(Al Hijr : 26)
Dengan makna bahawa manusia mempunyai pencipta. Yang menciptakan asal manusia itu dari tanah!
2. Mengapa kita datang ke sini (dunia/bumi)?
''Dan tidaklah Kami ciptakan Iangit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.''
(Al Anbiya : 16)
''Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu karena mereka akan masuk neraka.''
(Shaad : 27)
Jadi kalau begitu mesti ada tujuannya. Apakah tujuannya?
''Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu.''
(Ad Dzariyaat : 56-57)
3. Kalau begitu ke mana tempat kita pergi sesudah ini?
''Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?.''
(Al Mu'minun : 115)
Sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Al Alaq : 8)
Berbalik kepada cerita kita sebentar tadi. Apa kaitannya dengan hilang arah?
Ya, ada kaitan yang sangat besar.
Kita lihat saintis-saintis hebat dari barat, yang mengkaji fenomena alam yang mengkagumkan dan amat sukar difahami, setelah mengkaji dan mengkaji, mereka hilang arah.
Selepas ini apa? Selepas ini apa?
Kita lihat mereka yang larut dengan hiburan di dalam kehidupan mereka, clubbing, arak, dadah, amalan seks bebas-berzina.
Lalu selepas itu apa? Apa lagi yang kamu hendak buat?
Artis-artis yang hidup dalam keadaan glamour. Publisiti. Hiburan dan sebagainya.
Tanyakan kepada mereka selepas ini apa?
Soalan-soalan ini sekiranya direnungi akan mencengangkan hati mereka, lalu mereka akan bingung kerana; mereka tak punya jawapan.
-Selepas ini berhibur lagi. Dan lagi. Dan lagi.
-Kemudian umur semakin meningkat, dan semakin meningkat. Lalu?
-Lalu apa?
-Lalu mati? Jadi apakah makna kehidupan kamu?.
KOSONG!
Kerana itu ramai yang hilang arah. Kerana apa? Bukan kerana mereka tak punya matlamat, ianya kerana, matlamat mereka tak abadi.
Andai hidup bermatlamat hiburan,
maka hiburan akan pergi,
Andai hidup bermatlamat glamour,
ketahuilah glamour jua akan pergi,
Sekiranya hidup bermatlamat rupa paras dan kecantikan,
maka umur akan memakan keduanya jua,
Lalu apa lagi yang mahu dijawab?
Tiadalah melainkan; Allahlah matlamat yang abadi.
HIDUP IBADAH KEPADA ALLAH: HIDUP YANG BEBAS DARI PERHAMBAAN.
Apabila hidup kita kembali bermatlamatkan Allah, tempat kembali, maka hidup kita bebas.
Bebas dari apa?
Bebas dari perhambaan nafsu yang sentiasa memberitahu kita,
''Aku mahu ini, aku mahu itu.''
Bebas dari diperhambakan wang dan harta
Bebas dari diperhambakan syahwat terhadap lelaki/wanita
Bebas dari jiwa diperhambakan pangkat, jawatan dan pujian orang
Bebas dari diperhambakan manusia lain.
''SAYA GAY SAYA OKEY!''
Cubalah kaitkan dengan isu yang saya lontarkan di atas. Inshaallah anda mendapati jawapannya.
Saya nyatakan kembali perkataan saya di atas:
"..Dan apa yang saya dapati ialah, terjadinya cara fikir sedemikian ialah kerana: kehilangan MATLAMAT dalam kehidupan mereka.."
Tanyakanlah kembali kepada diri kita, siapa atau di manakah kita letakkan matlamat kita.
Saya tak fikir seseorang yang cuba mengubah situasi gay di Malaysia agar diterima masyarakat bermatlamatkan ''halatuju abadi''.
Di akhirnya saya fikir mereka akan mendapati suatu keresahan di dalam kehidupan. Tiadanya ketenangan, ibarat dicekik tali yang halimunan. Rasa bersalah dan sebagainya.
Kehidupan yang tak diredhai, malahan dilaknat-Naudzubillah.
PENUTUP
Lupakan isu gay, berbalik kepada diri kita pula. Sekiranya kehiidupan kita bermatlamatkan Allah, maka muhasabah kembali:
''Benarkah hari-hari yang kita lalui bermatlamatkan Allah?''
Maksud saya, bibir boleh mengucapkan kata-kata, namun sayang sekali, sebenarnya matlamat kita itu dibuktikan dengan perbuatan kita sendiri.
Hidup bermatlamatkan Allah sepenuhnya, dibuktikan dengan perbuatan, tatacara, perkataan kita.
Kita mungkin tak sempurna, namun bagi saya, kehidupan bermatlamatkan Allah itu, ialah kita berusaha mengubah diri kita, suasana kita, ke arah yang Dia redhai.
Moga Allah ampuni kita bersama.
No comments:
Post a Comment