Allahumma sholli ‘alaa sayyidina Muhammad, wa ‘alaa aalihi wa shohbihi ajma’iin…
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
KETIKA NYAWA DICABUT
Firman Allah SWT maksudnya: " Katakanlah, akan diambil nyawa kamu oleh Malaikat maut yang ditugaskan buat kamu, kemudian kepada Tuhanmulah akan dikembalikan." (As-Sajadah:11)
Menurut keterangan dari hadis Nabi, orang yang baik akan dijemput rohnya oleh Malaikat Rahmat dan orang yang jahat akan dijemput rohnya oleh Malaikat Azab.
Firman Allah SWT maksudnya: " Alangkah hebatnya sekiranya engkau melihat orang-orang zalim itu dalam sakaratul maut, sementara Malaikat menghulur tangan-tangan mereka sambil berkata: keluarkanlah nyawa-nyawa kamu, dihari inilah kamu akan dibalas dengan azab yang pedih." (Al-An'am:93)
Firman Allah SWT yang bermaksud:
" Dan alangkah hebatnya kalau engkau melihat tatkala Malaikat mematikan orang-orang kafir, sambil memukul muka-muka mereka dan punggung-punggung mereka dan berkata: Rasakanlah siksaan yang membakar ini." (Al-Anfal:50)
Sebaliknya orang-orang yang soleh akan menerima ucapan selamat dan berita gembira ketika nyawa mereka akan dicabut.
Firman Allah SWT yang bermaksud: " Orang yang dimatikan oleh Malaikat dalam keadaan baik, Malaikat akan berkata kepada mereka: " Kesejahteraan atas kamu dan masuklah ke dalam dengan amal yang telah kamu kerjakan." (An-nahl:32)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:
" Sesunguhnya orang-orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah kemudian mereka tetap lurus, nescaya turun atas mereka Malaikat yang berkata: Bahawasanya janganlah kamu takut dan janganlah kamu berdukacita dan bergembiralah dengan syurga yang pernah dijanjikan kepada kamu." (S.Fushshilat:30)
Semasa roh dikeluarkan dari jasadnya yang kasar, kesakitannya adalah sama seperti badan kita dicincang dengan pedang yang tajamnya sebanyak 300 kali. Begitulah keterangan yang diperolehi dari banyak diantara riwayat yang dijumpai.
Ada pula yang meriwayatkan bahawa Nabi Idris sewaktu hidup didunia pernah satu kali meminta kepada Allah agar Malaikat maut mencabut nyawanya untuk seketika, tetapi bukan untuk mati terus. Sekadar hendak mencuba dan mengetahui sahaja, bagaimana rasanya sakit mati itu.
Setelah mendapat keizinan dari Allah, maka Malaikat maut pun mencabut nyawa Nabi Idris. Setelah roh Nabi Idris dikembalikan seperti biasa, tiba-tiba dengan pantas Nabi Idris marah kepada Malaikat maut dan berkata: Sungguh kejam engkau sahabat! Mengapa engkau cabut nyawaku dengan begitu kuat sekali, sehingga aku merasakan terlalu sakitnya. Apakah begini juga caranya engkau mencabut nyawa manusia-manusia yang lainnya?
Jawab Malaikat maut: Tidak wahai sahabatku! Apa yang telah saya lakukan tadi terhadap engkau adalah yang sebaik-baiknya. Cabutan seorang sahabat terhadap sahabat yang dikasihinya.
Dengan riwayat ringkas percubaan mati Nabi Idris itu tadi nyatalah bahawa sakit mati itu akan terjadi keatas semua manusia. Mati memang sakit dan sakitnya tidak ada sesiapa pun yang dapat membayangkannya. Jika Allah turunkan rahmatNya untuk menghilangkan rasa sakit tersebut, tentu saja kematian itu tidak akan merupakan sesuatu yang menakutkan.
Tetapi jika Allah tidak memperdulikan, tentu saja mati itu merupakan siksa yang tidak ada contoh di muka bumi. Oleh itu tidak ada jalan untuk menghindarkan sakit sewaktu mati, selain daripada mentaati perintah Allah serta menjauhi apa yang menjadi laranganNya. Dan sentiasa memohon keampunanNya jika dirasai telah berbuat dosa.
Bagi seorang muslim dan seorang mukmin yang taat iaitu iman yang lahir dari hati yang tulus ikhlas dan dapat dibuktikannya dengan amal soleh. Maka mati itu tidak perlu dijadikan persoalan yang menakutkan.
Percayalah! Jika Allah melimpahkan rahmat serta kasih sayangNya kepada seseorang yang diwafatkan maka mati itu tidak lagi menjadi sesuatu yang menakutkan. Bahkan kebaikannya boleh ditemui sebagaimana contoh sahabat Nabi, Bilal bin Rabah r.a. Bilal bin Rabah r.a ketika dalam sakaratul maut berkata kepada isterinya: Sungguh menggembirakan sekali. Isteri Bilal bin Rabah r.a terkejut dan berkata: Wahai suamiku! Apakah yang engkau katakan! Sedangkan saya ketika ini dalam dukacita melihat keadaan engkau.
Jawab Bilal bin Rabah r.a: Siapa yang tidak berasa gembira jika dia akan bertemu dengan orang yang sangat dikasihinya. Apa yang dimaksudkan Bilal bin Rabah r.a ialah dia akan bertemu dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW dan akan berkumpul dengan para nabi-nabi serta para syuhada ditempat yang sangat terhormat disisi Allah.
Orang yang dalam kekurangan jika takut menempuh jalan untuk pergi ke tempat yang lebih sempurna, itu adalah kebodohan yang nyata. Kesempatan hidup bagi seorang mukmin adalah diakhirat dan mati adalah jalan yang harus ditempuhi. Kehidupan di dunia adalah kehidupan yang serba kekurangan dan waktunya sangat terbatas dan banyak hal-hal yang menyusahkan.
Jika banyak dosa, itulah yang menyebabkan takut mati maka ubatnya ialah banyak-banyak memohon keampunan kepada Allah terutama sekali jika dilakukan di waktu tengah malam. Jika amal solehnya sedikit itulah yang menyebabkan seseorang itu takut mati. Tetapi jika harta dunia yang ditinggallkan, maka mati akan tiba juga dengan segala isinya pasti akan ditinggalkan.
Pada waktu itu kelak kita akan menjadi orang yang paling menyesal kerana amal soleh dan ibadat yang dibawa terlalu sedikit. Duniamu hilang dan masa akhiratmu terancam!. Manusia macam inilah yang akan merasakan kesakitan sewaktu akan menghadapi sakaratul maut. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: " Dan tidaklah ada penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang taqwa. Apakah kamu tidak mahu berfikir?." (Al-An'am:32)
Dalam ayat akhir dikatakan: Apakah kamu tidak mahu berfikir? Ayat ini juga boleh dimaksudkan dengan: Apakah kamu tidak mempunyai fikiran? Jadi! dengan itu apa yang harus kita fikirkan ialah: Bagaimana dan apa yang harus dilakukan agar Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya.
Bekalan apakah yang harus disediakan untuk menempuh masa sesudah mati kerana disebalik kematian sana banyak sekali hal-hal yang akan pasti dijumpai. Di antaranya ialah: Allah akan tanya dari manakah kita memperolehi rezeki dan nikmat yang telah diperolehi. Dari mana kita dapat dan habiskan rezeki tersebut. Allah akan tanya dari umur yang kita lalui selama hidup didunia ini. Apakah yang telah kita lakukan dan kemana habisnya umur yang kita lalui itu. Serta banyak lagi persoalan dunia yang harus di pertanggungjawabkan nanti di hadapan Allah SWT.
Berdusta adalah hal yang tidak mungkin dapat dilakukan kerana seluruh anggota kita akan menjadi saksi utama dari seluruh pekerjaan dan perbuatan yang kita lakukan. Di samping itu juga Malaikat Raqib dan 'Atid yang mencatat segala pekerjaan dan perbuatan mengenai kehidupan di dunia dari tiap-tiap manusia adalah menjadi bukti yang sangat kukuh di hadapan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: " Kamu telah dilalaikan oleh sebab hendak mengumpulkan harta benda dunia dan kemuliaan yang berlebihan hingga kamu menziarahi kubur (mati). Jangan sekali-kali! Kamu akan mengetahui- Jangan sekali-kali! Kamu akan mengetahui- Jangan sekali-kali! Kamu akan mengetahui Alangkah baiknya jika kamu menyedari dengan ilmu yang meyakinkan - sesungguhnya kamu akan melihat neraka itu dengan penglihatan yang meyakinkan, kemudian sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari hisab dari seluruh nikmat yang telah kamu perolehi." ( Al-Takasur:1-8)
Insya'ALLAH akan ada sambungan..
Wallahu'allam
No comments:
Post a Comment