Kalimah 'Cinta' sudah tidak asing lagi di telinga kita.Apatah lagi di kalangan remaja kerana sudah menjadi tanggapan umum bahawa cinta bermaksud ungkapan rasa sepasang merpati dua sejoli yang mabuk dilanda asmara.Bila menyebut cinta, sering kali terbayang di kepala kita pasangan-pasangan kekasih sehidup semati seperti 'Romeo and Juliet', 'Laila dan Majnun', "Uda dan Dara", dan sebagainya.Jalaludin Ar-Rumi menggambarkan akan kerana indah dan asyiknya cinta itu, sehingga syaitan pun dianggap bidadari.Yang pasti,sudah ramai orang yang berbahagia kerana cinta,namun tidak kurang juga yang menderita kerana penangan cinta.Cinta dapat membuatkan seseorang itu menjadi mulia, dan cinta juga mampu membuatkan seseorang itu menjadi hina.
Melihat kepada sirah Rasulullah bagaimana Siti Khadijah ra.ha mendapat kemuliaan kerana berkorban apa saja untuk membantu perjuangan sang kekasih yang sangat dicintainya iaitu Rasulullah s.a.w.Banyak lagi kisah-kisah cinta zaman nabi yang boleh kita jadikan contoh teladan dalam memaknai erti Cinta seperti kisah cinta "Zulaikha dan Nabi Yusuf", "Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis", "Nabi Ibrahim dan Siti Hajar" dan lain-lain.Semuanya berkisar tentang Cinta dan pengorbanan kerana Allah swt. Sebaliknya di zaman kita ini, ada di antara gadis-gadis sanggup menjadi hina dengan menyerahkan maruah mereka kepada orang yang mereka cintai.Adakah itu dinamakan cinta atau nafsu semata? Dan terlebih hina lagi hingga sanggup "mencabut nyawa sendiri" lantaran gagal dalam bercinta.Cinta yang sedemikian inilah yang membuatkan seseorang itu hina di dunia dan di akhirat.Nauzubillahhi min zalik...
"CINTA" dari segi bahasa bermaksud kecenderungan.Berpandukan kepada maksud ini "CINTA" bolehlah didefinisikan sebagai "kecenderungan yang kuat terhadap sesuatu yang disayangi sehingga membuatkan dia sentiasa membayanginya, menyebut namanya, rela berkorban deminya, menerima sepenuh hati segala yang ada pada insan yang dicintainya itu walaupun terdapat kekurangan padanya dan meluahkan semuanya melalui ungkapan kata-kata dan perbuatan".
- Pandangan Islam Terhadap Cinta
"Apabila seseorang itu mencintai saudaranya hendaklah ia memberitahu bahawa dia mencintainya" (HR Abu Daud dan Tarmidzi)
Seorang muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai malah adalah sangat digalakkan kerana terdapat beberapa kelebihan melaluinya.Islam tidak menghalang cinta dan telah disediakan saluran yang halal(iaitu bernikah) di mana sepasang manusia itu bebas bercinta.
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya,Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa cinta dan kasih sayang." (Surah Ar-Rum:21)
Ayat di atas merupakan satu jaminan bahawa cinta dan kasih sayang itu akan Allah campakkan ke dalam hati pasangan yang bersatu kerana Allah (iaitu dengan cara bernikah).Jadi tidak perlulah menunggu untuk jatuh cinta terlebih dahulu ataupun "bercouple" dahulu sebelum menikah.Islam telah jelas menetapkan batasan-batasan ini untuk mengelak dari timbulnya gejala sosial dalam masyarakat.Betapa cantiknya Islam,setiap apa yang ditetapkan itu punya hikmah yang tersendiri.
Dalam Islam terdapat beberapa tahap cinta.Tidak boleh yang lain mengatasi yang lain melainkan mengikut turutannya.Ibnu Qayyim menyatakan ada 6 tahap cinta itu:
1. Tahap pertama, dan yang paling tinggi sekali ialah cinta yang menjadi hak Allah semata-mata.Itulah cinta hamba kepada Khaliq.
2. Tahap kedua selepas cinta kepada Allah ialah cinta kepada kekasih Allah,Rasulullah saw.Cinta yang melahirkan rasa hormat,patuh,ingin mempertahankannya,ingin menjadi pengikutnya dan melaksanakan segala sunnahnya.
3. Tahap ketiga ialah cinta antara mukmin dengan mukmin yang lain.Antara ibubapa dan anak, antara suami dan isteri yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah.
4. Tahap keempat, cinta sesama muslim yang melahirkan rasa ukhwah Islamiyah.
5. Tahap kelima, cinta sesama manusia.
6. Tahap keenam, cinta kepada selain manusia yakni binatang, harta benda dll.
- Hubungan antara Cinta dan Iman
Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah ra, dari Rasulullah saw: "Barangsiapa ingin memperolehi kelazatan iman, hendaklah ia mencintai seseorang hanya kerana Allah swt" (riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah).
Dari Anas ra. dari Rasulullah saw, baginda bersabda: "Ada tiga perkara di mana orang yang memilikinya akan merasai manisnya iman, iaitu mencintai Allah dan RasulNya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana enggannya dia dilemparkan ke dalam api." (HR Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah saw bersabda: "Demi zat yang jiwaku ada dalam genggamanNya, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai" (HR Muslim).
Carilah cinta sejati, di lautan cinta berbahterakan taqwa berlayarkan iman yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu, InsyaAllah kita akan sampai kepada tujuannya iaitu CINTA kepada Allah.Itulah cinta hakiki yang kekal selamanya.Adapun cinta kepada makhluknya, pilihnya cinta yang hanya berlandaskan cinta kepada Allah dan RasulNya.Bukan kerana pujuk rayu syaitan dan nafsu yang menggoda.Jadikan cinta manusia sebagai jambatan atau perantaraan untuk kita meraih Cinta Allah.InsyaAllah moga Cinta itu diberkati dan dirahmati Allah.
"Ya Allah, kurniakanlah kepada kami CintaMu dan Cinta kepada mereka yang mencintaiMu dan apa saja yang mendekatkan kami kepada CintaMu...Amin"
~CINTA ALLAH CINTA ABADI~<3<3
No comments:
Post a Comment