Profil
· Nama penuhnya ialah Juwairiyah binti al-Harits bin Abu Dhirar.
· Lahir sekitar 14 tahun sebelum hijrah.
· Dibesarkan dalam keluarga kaya lagi bangssawan kerana ayahnya adalah kepala suku Bani Mustaliq.
· Rupa parasnya digambarkan cantik jelita, berakhlak mulia dan berpendidikan sehingga ramai orang kaya dan terhormat mahu menyunting dirinya.
· Diperisterikan oleh Musafi’ bin Shafwan, pemuda dari Khuza’ah.
· Kemudian, dimuliakan Allah menjadi salah seorang Ummahatul Mu’minin (Ibu orang-orang beriman).
· Keislamannya menyebabkan 100 kepala keluarga dari kabilahnya turut masuk Islam.
Cahaya Kenabian Menyimbah Bumi Madinah
Ketika Rasulullah SAW hijrah ke Madinah, baginda mendapati wujudnya golongan Yahudi dan orang-orang musyrik menghuni kota itu sejak sekian lama. Rasulullah SAW tidak menghadapi mereka dengan menunjukkan permusuhan.
Sebaliknya, baginda mengiktiraf keberadaan mereka dengan lapang dada. Dengan bijaksana, baginda menawarkan sebuah kontrak sosial dengan mereka secara adil agar mereka bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.
Dendam Ayah
Kebaikan baginda tidak dihargai bahkan dikhianati. Kaum Yahudi sering menjadi duri dalam daging di tanah air sendiri. Bani Mustaliq merupakan salah satu kaum yang membenci kepimpinan kaum muslimin di Madinah. Ketuanya ialah Al-Harits bin Abu Dhirar, bapa Juwairiyah.
Bapa Juwairiyah membuat persiapan maksimum untuk memerangi kaum muslimin. Pasukan dikemaskan, bekalan, senjata dan logistik dipersiapkan. Meskipun pilar-pilar negara Islam semakin kukuh di Madinah, Bani Mustaliq tetap yakin mereka lebih kuat.
Perang Bani Mustaliq
Berita kebencian bapa Juwairiyah sampai ke telinga Rasulullah SAW. Demikian juga persiapan nekad untuk berperang bersama kaumnya dan suku-suku Arab yang berjaya dipengaruhi membuatkan Rasulullah SAW bimbang.
Baginda lalu mengutuskan Buraidah bin Al-Hashib Al-Aslami untuk memastikan kesahihan berita itu. Buraidah lalu berjumpa sendiri dengan Al-Harits. Ternyata, kebencian Al-Harits terhadap Islam berkobar-kobar. Dia begitu bernafsu besar untuk menyerang Madinah.
Sebelum mereka menyerang, Rasulullah SAW mengumpulkan para sahabat dan mereka berangkat menuju ke bani Mustaliq pada 2 Syaaban. Al-Harits mengirim pengintip namun pengintip ini berjaya dikesan lalu dibunuh.
Pembunuhan pengintip itu menggentarkan hati suku-suku Arab yang bersama Al-Harits sehingga mereka mengundurkan diri. Perang bani Mustaliq lalu terjadi pada bulan Sya’ban, tahun 6 Hijriah. Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Aun menulis surat kepada Nafi’ untuk bertanya tentang perihal perang Bani Mustaliq. Dalam jawapannya Nafi’ berkata,
“Rasulullah SAW menyerang bani Mustaliq yang telah bersiap-siap menyerang Rasulullah SAW sebelumnya. Unta-unta mereka digiring menuju suatu sumber air. Di sanalah Rasulullah SAW menyerang mereka dan berhasil menawan kaum wanita dan anak-anak termasuk Juwairiyah. Aku mendengar kisah ini daripada Ibnu Umar yang ikut dalam perang tersebut.” (Riwayat Bukhari, vol.5. hlm. 202, kitab al-Itq dan Muslim, vol. 12 hlm. 35-36, kitab Al-Jihaad was Sair).
Menjadi Janda
Dalam peperangan itu, Musafi’ bin Shafwan, suami Juwairiyah binti Al-Harits terbunuh. Terdapat 10 orang lagi tentera bani Mustaliq turut terbunuh bersamanya. Sementara itu, lebih 700 orang menjadi tawanan termasuk Juwairiyah binti Al-Harits.
Juwairiyah kini menjadi janda. Kesedihan tiada tara. Ditawan pula oleh kaum muslimin. Namun, dia bukan wanita yang cepat menyerah sebaliknya cuba membebaskan dirinya dengan sejumlah wang. Ummul Mu’minin Aisyah r.ha berkata,
“Ketika Rasulullah SAW membahagi-bahagikan tawanan dari kaum wanita bani Mustaliq, Juwairiyah binti al-Harits menjadi bahagian Tsabit bin Qais bin Syammas atau sepupunya. Saat itu juga Juwairiyah membuat kesepakatan untuk membebaskan diri dengan membayar sejumlah wang kepadanya. Juwairiyah adalah seorang wanita yang cantik jelita sehingga sesiapapun yang melihatnya, maka akan terpesona dengan kecantikannya itu. Lalu, Juwairiyah menemui Rasulullah SAW untuk meminta bantuan beliau untuk menunaikan kesepakatan itu.”
Cemburu Aisyah, Kesayangan Nabi
Juwairiyah tekad melangkah menemui Rasulullah SAW bagi meminta pertolongan. Aisyah r.ha bercerita lagi,
“Demi Allah! Aku tidak sedar ketika tiba-tiba Juwairiyah sudah berada di depan pintu rumahku. Aku tidak suka dengan kehadirannya dan aku yakin Rasulullah SAW akan mempunyai kesimpulan yang sama tentang dirinya seperti kesimpulanku tadi (iaitu tentang kecantikan Juwairiyah yang mempesona).”
Aisyah berkata lagi, “Demi Allah. Aku sangat membencinya saat aku melihatnya dari pintu rumah.” (Rujuk lebih lanjut dalam Sahih Muslim, hadis Urwah dari Aisyah).
Bonda kita Aisyah sedang cemburu. Fitrah cinta memang begitu. Isteri mana yang tidak cemburu? Debaran Aisyah makin melaju tatkala Juwairiyah di depan Rasul. Mujurlah suami Aisyah itu adalah Rasulullah. Maksum dan dipelihara Allah. Hati Aisyah redha jika nanti Rasulullah mempunyai strategi politik untuk membantu agama. Membuktikan permusuhan Islam dengan Yahudi bukan kerana prejudis bangsa tetapi kerana kedengkian dan sifat khianat mereka jua.
Strategi Politik Nabi
Berkata Juwairiyah tatkala berhadapan dengan Rssulullah, “Wahai Rasulullah, saya adalah Juwairiyah binti al-Harits bin Abu Dhirar, pemimpin kabilah bani Mustaliq. Saya mendapat musibah yang sedia tuan maklum. Saya menjadi bahagian Tsabit bin Qais bin Syammas atau sepupunya. Maka saya ingin membuat kesepakatan dengannya supaya saya menjadi orang yang merdeka. Tujuan saya menemui tuan ialah untuk meminta bantuan menyelesaikan perihal kesepakatan ini.”
Rasulullah SAW menawarkan diri untuk melunasi bayaran kesepakatan Juwairiyah dengan Tsabit bin Qais. Bukan itu sahaja, melihat potensi Juwairiyah yang sangat berpengaruh terhadap kaumnya, baginda turut menawarkan diri untuk menikahi puteri pemimpin kaumnya itu. Juwairiyah bersetuju. Hasilnya, semua tawanan bani Mustaliq menjadi kerabat baginda dan menyebelahi perjuangan baginda. Mereka lalu dibebaskan. Dakwah semakin tersebar. Hal ini amat menguntungkan Islam.
Menyedari suaminya menikah lagi kerana kepentingan agama bukan kerana kepentingan nafsu, Aisyah meredhai. Katanya, “Saat itu juga, tersebarlah berita bahawa Rasulullah SAW menikahi Juwairiyah binti Al-Harits. Mendengar berita itu, para sahabat berkata (tentang hamba-hamaba tawanan mereka yang berasal dari bani Mustaliq), “Mereka adalah besan-besan Rasulullah SAW.” Sehingga mereka langsung memerdekakannya. Maka dibebaskan 100 orang keluarga Bani Mustaliq kerana pernikahan Juwairiyah. Saya tidak pernah lihat ada wanita yang lebih besar berkatnya bagi kaumnya daripada dia.” (Diriwayatkan daripada Abu Daud dan Ahmad.)
Diproses Nabi Menjadi Murobbiah
Setelah masuk Islam dan menjadi isteri Nabi, Juwairiyah tekun beribadah kepada Allah SWT. Beliau mendapat bimbingan terus daripada Nabi Muhammad SAW. Antara pelajaran berharga yang beliau kutip terus daripada murobbi agungnya ialah berkaitan puasa sunat.
Juwairiyah berkata bahawa Nabi pernah menemuinya pada hari Jumaat. Saat itu dia sedang berpuasa. Rasulullah SAW bertanya,
“Semalampun dinda berpuasa?” Juwairyah menjawab, “Tidak!”
Rasulullah SAW berkata, “Dinda akan berpuasa lagi besok?” Juwairiyah menjawab, “Tidak!” Rasulullah SAW berkata, “Kalau begitu, batalkan puasa dinda hari ini (Jumaat).”
Dalam riwayat lain, Juwairiyah berkata, “Pada suatu pagi, Rasulullah SAW masuk ke rumahku. Baginda mendapatiku sedang bertasbih, maka baginda pergi ke tempat lain untuk satu keperluan. Kemudian baginda kembali lagi menemuiku ketika hampir tengahari. Rasulullah SAW bertanya,
“Adakah dinda masih duduk (bertasbih)?” Aku menjawab, “Ya.” Baginda berkata, “Mahukah dinda, kanda ajarkan beberapa kalimat yang jika dinda ucapkan maka setara dengan seluruh tasbih yang dinda lakukan. Ucapkanlah Subhanallah, a’dada khalqih, sebanyak 33 kali.Subhanallah zinata a’rsyih, sebanyak 33 kali. Subhanallah ridhaa nafsih, sebanyak 33 kali. DanSubhanallah midaada kalimatih, sebanyak 33 kali. “ (Riwayat Muslim).
Pergi Selamanya
6 tahun menjadi isteri Nabi cukup bermakna baginya. Setelah kewafatan Rasulullah SAW, beliau melalui era pemerintahan khulafa’ ar-rasyidin yang amat memuliakan kedudukan beliau sebagai isteri Nabi.
Usianya dihabiskan dengan ilmu, zikir, doa, tasbih dan mengajarkan ilmu kepada para penuntut ilmu yang datang ke Madinah. Juwairiyah tekun meyampaikan apa saja pengalaman hidupnya bersama Rasulullah. Setiap perlakuan Nabi menjadi rujukan sumber hukum selepas al-Quran. Inilah hikmahnya Nabi menikahi ramai wanita dalam jangka masa 10 tahun dari akhir usia baginda agar ramai yang akan menjadi saksi kehidupan seharian baginda yang bernaungkan wahyu. Demi maslahah ummah hingga ke hari ini.
Juwairiyah tekun berdakwah hingga masa pemerintahan Mua’wiyah bin Abu Sufyan r.a. Usianya kala itu adalah 70 tahun. Beliau mula sakit-sakit. Pada bulan Rabiu’l Awwal, 50 Hijriah, Juwairiyah dijemput Ilahi. Beliau dimakamkan di perkuburan Baqi’. Marwan bin al-Hakam yang menjawat sebagai Gabenor Madinah ketika itu memimpin solat jenazah dan diikuti banjiran penduduk Madinah. Semoga Allah meredhai bonda kita, Juwairiyah.
No comments:
Post a Comment