"Hanya kau di hatiku..."
Kisah Cinta Zainab Binti Jahsy
Model Isteri Berkerjaya
Profil
· Dibesarkan di Makkah, sekitar 33 tahun sebelum kenabian.
· Sepupu Rasulullah SAW.
· Puteri daripada ibu saudara Rasulullah SAW yang bernama Umaymah binti Abdul Muthalib bin Hasyim.
· Berparas cantik jelita.
· Berdarah bangsawan yang terhormat iaitu keturunan suku Faras.
· Mempunyai adik-beradik yang hebat-hebat seperti Abdullah bin Jahsy, pemimpin pasukan Islam yang dilantik Nabi, Abu Ahmad bin Jahsy, penyair tersohor yang membela agama dengan sasteranya, dan Hamnah binti Jahsy, generasi pertama memeluk Islam.
· Anak saudara kepada lelaki-lelaki hebat seperti Hamzah, Singa Allah dan Abbas yang berjasa.
· Dinikahkan oleh Rasulullah SAW dengan anak angkat kesayangan baginda iaitu Zaid bin Haritsah, kemudian diceraikan Zaid dan dinikahi pula oleh Rasulullah SAW atas perintah Allah SWT.
· Beliau sangat pemurah hingga Nabi menjulukinya dengan gelaran ‘panjang tangan’ dan merupakan isteri yang paling cepat menyusuli kewafatan Nabi.
Golongan Pertama Beriman
Abang kandung Zainab iaitu Abdullah bin Jahsy sangat mengagumi akhlak, pemikiran dan kematangan Rasulullah SAW. Tidak hairanlah apabila Rasulullah SAW diangkat menjadi Nabi, beliau segera beriman dan setia mengikuti ajaran baginda di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam.
Ajaran mulia itu segera disebarkan kepada keluarga terdekat. Ia disambut penuh yakin oleh adik-adiknya, Zainab dan Hamnah. Ketika penentangan Quraisy memuncak terhadap ajaran Islam, keluarga besar ini turut berhijrah ke Madinah.
Memendam Cinta Terhadap Nabi
Zainab seakan dipersiapkan oleh Allah SWT untuk menjadi Ummul Mukminin apabila Dia memudahkannya untuk melengkapkan diri dengan segala sifat terpuji. Beliau rajin bersedekah, berpuasa, solat malam dan suka berbakti kepada orang sekeliling. Beliau sangat mudah disenangi.
Zainab sejak awal amat bercita-cita menjadi isteri Rasulullah SAW. Gadis mana yang tidak terpikat dengan susuk berwibawa semulia Nabi? Memang ramai gadis dan janda pada zaman itu yang memendam hasrat yang sama.
Apabila Rasulullah SAW masuk meminang, Zainab berasa amat gembira. Hatinya berbunga-bunga. Namun, alangkah terkejutnya Zainab apabila mengetahui bahawa pinangan itu bukan untuk baginda sebaliknya untuk anak angkat baginda.
Berkorban Demi Cinta Agung
Ibnu Katsir meriwayatkan dalam tafsirnya, “Al-Aufi meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas RA menafsirkan ayat “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin…”(Surah al-Ahzab: 36) seperti berikut:
Rasulullah SAW berhasrat meminang Zainab binti Jahsy al-Asadiyyah R.HA untuk dinikahkan dengan Zaid bin Haritsah RA. Mendengar hal ini, Zainab menolak,
“Saya tidak mahu menikah dengannya.”
Rasulullah SAW tetap meminta, “Kamu harus menikahinya.”
Zainab merayu, “Wahai Rasulullah, bolehkah saya mempertimbangkannya dahulu?”
Ketika mereka sibuk berbincang, Allah SWT menurunkan ayat ini, “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka …”(Surah al-Ahzab: 36)
Zainab menunjukkan pengorbanan agung apabila terpaksa rela menikahi lelaki yang tidak disukainya semata-mata mahu memenuhi perintah Rasul dan rencana Ilahi.
Menikahi Insan yang Tidak Dicintai
Berkata Zainab tatkala membaca firman Allah,
“Kalau begitu, saya tidak mahu derhaka kepada Allah dan Rasul. Saat ini juga saya bersedia menikah dengannya.” (Fizilaalil quran, Sayyid Qutb, vol.5, hlm. 2865). Pengorbanan itu dilakukan semata-mata kerana cintanya kepada Allah dan Rasul.
Dalam Islam, tiada paksaan dalam urusan perkahwinan. Namun, kes Zainab adalah kes yang tersendiri dan istimewa. Allah dan Rasul mempunyai strategi tertentu.
Bernikahlah Zainab dengan Zaid bin Haritsah, anak angkat kesayangan Nabi dan dikenal sebagai Zaid bin Muhammad. Antara salah satu hikmah Rasulullah SAW menikahkan Zainab, si gadis bangsawan dengan Zaid, si pemuda miskin ialah bagi menggugurkan perbezaan darjat di antara manusia.
Ketika rumah tangga mereka bergolak, Zaid banyak mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah menyuruh Zaid tetap bersabar. Zaid dan Zainab ternyata tidak serasi setelah setahun cuba menyemai cinta. Perceraian menokhtahkan konflik mereka. Allah SWT menurunkan ketentuan-Nya agar Nabi menikahi Zainab selepas Zaid menceraikannya.
Hikmah agung pernikahan Rasulullah SAW dengan Zainab, ia menghapuskan hukum anak angkat yang dilayan bagaikan anak sendiri dalam soal mewarisi dan hukum-hakam pernikahan. Perbuatan Nabi ini menyebabkan orang Islam tidak keberatan lagi untuk menikahi bekas isteri anak angkat mereka sebagaimana adat sosial yang menebal dalam masyarakat ketika itu.
Allah Mendedahkan Rahsia Hati Nabi
Ibnu Abu Hatim menceritakan dari jalan periwayatan Ali bin Zaid dari Ali bin al-Husain bin Ali bahawa dia berkata,
“Allah memberitahu Nabi-Nya bahawa Zainab akan menjadi salah seorang isteri baginda sebelum baginda menikah dengannya. Oleh sebab itu, ketika Zaid mengadukan persoalan rumah tangganya yang tidak kunjung membaik kepada baginda dan baginda menyarankan agar dia bertakwa kepada Allah dan tetap mempertahankan isterinya itu, maka Allah ingin mengatakan kepada baginda,
“Aku sudah memberitahumu bahawa Aku menikahkan engkau dengannya. Engkau menyembunyikan sesuatu di dalam dirimu yang akan Allah nyatakan kepada semua orang.” (Fathul Bari, vol.8, hlm 384).
Firman Allah SWT:
“Dan ingatlah ketika kamu berkata kepada orang yang telah Allah limpahkan nikmat kepadanya, “Pertahankan terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah.” Sedang kamu menyembunyikan sesuatu di dalam dirimu yang akan Allah nyatakannya. Dan kamu takut kepada manusia sedangkan Allahlah yang lebih berhak kamu takuti. Maka tatkala Zaid telah mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya). Kami kahwinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya. Dan adapun ketetapan Allah itu pasti terjadi.” (Q.S.33:37 )
Ujian Bermadu
Anas meriwayatkan, Zainab sering berbangga-bangga atas para isteri Rasulullah yang lain kerana dinikahkan oleh Allah dari tujuh lapis langit. Bukhori meriwayatkan dari Anas, Zainab sering berkata, “Aku berbeza dari isteri-isteri Rasulullah S.A.W yang lainnya. Mereka dikahwinkan oleh ayahnya, atau saudaranya, atau keluarganya, tetapi aku dikahwinkan Allah dari langit.”
Anas menceritakan bahawa Aisyah dan Zainab bertengkar sehingga bersuara tinggi, padahal sudah terdengar azan solat. Abu Bakar melintasi dan terdengar suara pertengkaran mereka. Maka dia berkata, “Keluarlah wahai Rasulullah, dan taburkan tanah ke dalam mulut mereka”. Aisyah berkata, “Sekarang Nabi sedang solat.” Abu Bakar datang dan melakukan sesuatu terhadap Aisyah seraya mengecam dengan keras, “Kenapa kamu buat begini?” (HR. Muslim).
Pada suatu malam, Zainab datang ke rumah Aisyah. Pada masa itu, rumah-rumah belum diterangi lampu. Kemudian Nabi masuk lalu menghulurkan tangannya kepada Zainab tanpa sengaja. Aisyah terus berkata, “Itu Zainab!” Nabi segera menarik tangannya.
Aisyah sangat cemburukan madunya Zainab binti Jahsi, dia berkata, “Baginda (Rasulullah) berada di sana melebihi waktu saya maka saya cemburu.” Aisyah kemudiannya berunding dengan Hafshah merancang satu komplot. Siapa sahaja isteri Nabi yang didatangi baginda, beliau harus mengatakan, “Sesungguhnya aku mencium bau maghafir (makanan yang baunya tidak enak) padamu, adakah engkau baru habis minum maghafir?” Maka setiap isteri yang diziarahi baginda, mereka akan bertanyakan soalan yang sama. Nabi berkata, “Saya tadi minum madu di rumah Zainab dan saya tidak akan mengulanginya lagi.” Maka turunlah ayat Allah: (At-Tahrim: 1-4) menegur pakatan bohong ini.
Zainab sering dicemburui. Aisyah berkata, “Dia (Zainab) adalah isteri Nabi SAW yang nyaris setara denganku dibandingkan dengan isteri-isteri yang lain)” (HR Bukhari).
Zainab pernah mengejek Shafiyah binti Huyay sebagai anak Yahudi sehingga Rasulullah marah kepadanya dalam tempoh yang agak lama.
Pujian Buat Zainab
Dari Aisyah R.HA berkata, “Zainab binti Jahsy adalah seorang dari isteri-isteri Nabi yang saya muliakan. Allah SWT menjaganya dengan ketakwaan dan saya belum pernah melihat wanita yang lebih baik dan lebih banyak sedekahnya dan selalu menyambung silaturahim dan selalu mendekatkan dirinya kepada Allah selain Zainab.”
Imam Az-Zahabi berkata dalam Siyar A’alaam an-Nubalaa’, “Dia adalah seorang tokoh wanita yang mulia dalam hal ketaatan beragama, kewarakan, kedermawanan dan kebaikan.”
Abu Nua’im berkata, “Dia adalah seorang wanita yang khusyuk, selalu redha, banyak mengadu dan berdoa kepada Allah.” (Hilyatul Auliyaa’, vol.2, hlm. 51).
Model Isteri Berkerjaya
Beliau memiliki pelbagai macam keahlian dan kepakaran. Beliau mahir menyamak kulit, memintal serta menenun kain sutera, hasilnya dijual dan disedekahkan. Itulah kerjaya Zainab yang menguatkan sumber ekonominya hinggakan beliau mempunyai keistimewaan sebagai seseorang yang banyak bersedekah.
Rasulullah pernah bersabda kepada isterinya, “Yang paling dahulu menyusulku kelak adalah yang paling panjang tangannya.” Maka berlumba-lumbalah isteri baginda mengukur tangan mereka. Apabila Zainab yang pertama kali menyusuli baginda, tahulah mereka bahawa itu kiasan bagi orang yang banyak bersedekah.
Zainab wafat pada 20 Hijriah, dimakamkan di Baqi’. Semoga Allah meredhainya.
Alhamdulillah! Terima kasih sangat-sangat atas perkongsian bermanfaat ni<3 seronok baca!
ReplyDeleteTerima kasih atas perkongsian kisah 2 kali Allah menegur Nabi Muhammad s.a.w
ReplyDelete